Malaysia intai laluan terus Riyadh, sasar lonjakan pelancong Timur Tengah

Malaysia intai laluan terus Riyadh, sasar lonjakan pelancong Timur Tengah

Ketika ini sebahagian besar penerbangan dari Jeddah ke Asia Tenggara lebih tertumpu ke Indonesia sekali gus had keupayaan Malaysia menarik pelancong segmen keluarga dan premium.

klia crowd
Kerajaan akan bekerjasama rapat dengan Batik Air dan Tourism Malaysia bagi memperkukuh promosi di Riyadh dan Jeddah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia sedang meneroka peluang membuka laluan penerbangan terus dari Riyadh, Arab Saudi sebagai langkah strategik untuk memperluas pasaran pelancongan dari Timur Tengah, sejajar sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata cadangan itu kini dibincangkan bersama Batik Air, mengambil kira kejayaan syarikat penerbangan tersebut membuka laluan ke bandar peringkat kedua dan ketiga yang sebelum ini kurang diterokai kerana risiko operasi tinggi.

Katanya, pendekatan berani itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam persaingan serantau menarik pelancong Timur Tengah, khususnya dari Arab Saudi yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi tinggi.

Menurutnya, ketika ini sebahagian besar penerbangan dari Jeddah ke Asia Tenggara lebih tertumpu ke negara lain seperti Indonesia, sekali gus mengehadkan keupayaan Malaysia menarik lebih ramai pelancong daripada segmen keluarga dan premium.

“Kenapa tidak kita melihat Riyadh sebagai peluang baharu? Jeddah mempunyai kekangan tertentu dari segi ketersediaan penerbangan, sedangkan minat rakyat Arab Saudi untuk melancong ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia, sangat besar,” katanya dalam kenyataan.

Tiong berkata, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan Batik Air dan Tourism Malaysia bagi memperkukuh promosi di Riyadh dan Jeddah, selain memastikan inisiatif penerbangan terus dari Riyadh dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

“Keterhubungan bukan sekadar soal penerbangan, tetapi faktor penentu daya saing destinasi pelancongan. Syarikat penerbangan memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Batik Air atas komitmen menyokong TMM2026 menerusi pembukaan laluan ke bandar sekunder berpotensi tinggi, sambil menegaskan setiap negeri di Malaysia hanya mampu memaksimumkan potensi pelancong sekiranya akses dan jaringan penerbangan terus diperkasakan.

“Dengan memperluas laluan penerbangan, kita bukan sahaja membawa pelancong masuk ke Malaysia, tetapi menggalakkan mereka menjelajah ke seluruh negara, termasuk destinasi baharu yang sedang membangun,” katanya.

Tiong turut menekankan persaingan industri penerbangan kini tidak lagi bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya menuntut standard perkhidmatan tinggi, dengan kerjasama erat antara syarikat penerbangan, Tourism Malaysia dan pemain industri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.