Saifuddin cadang politik ilmu, hikmah dan bakti jadi teras kematangan demokrasi

Saifuddin cadang politik ilmu, hikmah dan bakti jadi teras kematangan demokrasi

Pemimpin Bersatu itu berkata tiga prinsip itu tolak budaya fitnah dan politik undi, sebaliknya tekan kearifan, keikhlasan serta khidmat berterusan kepada rakyat.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah menegaskan politik hikmah bermaksud politik berasaskan kearifan ilmu dan kebijaksanaan, bukan politik serangan atau fitnah.
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah menggariskan tiga prinsip utama yang menurutnya wajar dijadikan asas politik baharu negara – politik ilmu, hikmah dan bakti – bagi mematangkan demokrasi serta menolak budaya fitnah serta perebutan kuasa.

Dalam tulisan ruangan Merentas Ruang diterbitkan di Sinar Harian, Jumaat lalu, bekas menteri luar negeri itu mengupas maksud politik hikmah dan bakti yang mana beliau sebelum ini menjelaskan pendapatnya berhubung politik ilmu.

Saifuddin menegaskan bahawa politik hikmah bermaksud politik berasaskan kearifan ilmu dan kebijaksanaan, bukan politik serangan atau fitnah.

“Apabila berkempen, gunakanlah pendekatan ramah, bukannya seranah,” katanya sambil menasihatkan ahli politik berdebat dengan hujah baik dan tidak menjatuhkan maruah lawan.

Beliau berkata, dalam kepimpinan, politik hikmah tercermin apabila kuasa digunakan sebagai amanah untuk merancang, melaksana, memantau dan menambah baik dasar atau pembangunan negara.

Menurut Saifuddin, Rasulullah SAW sendiri mengingatkan cabaran terbesar ialah melawan hawa nafsu – sesuatu yang juga boleh menjerumuskan kepada ‘politik fitnah’ seperti penyebaran berita palsu, surat layang, lobi tidak sihat, serangan peribadi, serta rasuah dan penyelewengan.

“Dua keadaan menyuburkan politik fitnah ialah politik terlalu partisan dan adversarial,” katanya.

Berhubung politik bakti, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menyifatkannya sebagai khidmat berterusan berlandaskan prinsip ‘berlumba-lumba dalam kebaikan’.

Jelasnya, ahli politik yang benar-benar mengamalkan politik bakti tidak hanya muncul ketika pilihan raya untuk meraih undi, sebaliknya terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kedudukan.

“Ada beza antara ahli politik yang mendapatkan undi untuk berbakti, dengan menggunakan bakti sekadar untuk mendapatkan undi,” katanya.

Beliau mengingatkan politik berorientasikan wang dan jawatan hanya mencipta ‘kitaran syaitan’ yang merosakkan sistem politik dan masyarakat.

Menurut Saifuddin, politik bakti juga menuntut keikhlasan, kesukarelaan dan pengorbanan, termasuk dari segi masa, tenaga dan harta selain peribadi terutama dengan sokongan keluarga.

“Ia juga termasuk keupayaan mengutarakan dasar dan program komprehensif dan konkrit untuk rakyat, serta melaksanakannya dengan efektif apabila diberi peluang.

“Ahli politik harus mampu menyediakan tawaran segar kepada rakyat,” katanya yang mencadangkan prestasi politik bakti dinilai melalui laporan tahunan parti serta Adun dan Ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.