Terap politik ilmu bukan ampu atau fitnah, kata pemimpin Bersatu

Terap politik ilmu bukan ampu atau fitnah, kata pemimpin Bersatu

Saifuddin Abdullah ingatkan ahli politik berpegang pada idealisme, membuat keputusan berasaskan ilmu demi kepentingan rakyat dan negara.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata pemimpin juga memerlukan penasihat berwibawa untuk main peranan penting dalam membentuk dasar.
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah menggesa semua pihak mendukung ‘politik ilmu’ dalam membina ekosistem politik baharu negara yang manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, politik tidak sepatutnya berlandaskan ampu, fitnah atau kepentingan peribadi, sebaliknya digerakkan ilmu, hikmah serta bakti.

“Kita mesti mendukung politik ilmu, kerana ilmu memandu kita dalam perjuangan,” katanya merujuk ayat al-Quran (Az-Zumar: 9) dalam tulisannya di Sinar Harian yang diterbitkan hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga bekas menteri luar negeri turut menekankan ilmu berbeza daripada maklumat.

Merujuk pandangan cendekiawan Naquib al-Attas, Saifuddin berkata ilmu adalah ketibaan sesuatu makna hasil daripada maklumat benar ke dalam diri seseorang.

“Ini bermakna ilmu tidak sama dengan maklumat. Oleh kerana tidak semua maklumat itu benar, maka tidak semua maklumat itu ilmu.

“Maklumat yang benar tetapi tidak memberi makna, juga bukan ilmu,” katanya, merujuk contoh sebaran surat layang atau perbuatan mengampu.

“Ia bukan ilmu. Begitu juga apabila terdapat maklumat benar tetapi tidak diendahkan, itu juga bukan ilmu.”

Beliau menekankan keperluan menerapkan ‘budaya ilmu’ seperti digagaskan sarjana Wan Mohd Nor Wan Daud, yang merangkumi tiga prinsip: meletakkan ahli politik berilmu di kedudukan tertinggi, menyumbang kepada perkembangan ilmu, dan membuat keputusan berasaskan ilmu.

Katanya, ilmu membolehkan seseorang berpegang pada idealisme dan tidak mudah diumpan dengan janji jawatan.

Saifuddin turut menegaskan, ahli politik tidak boleh sekadar mempengerusikan mesyuarat atau membaca teks yang disediakan kerana dunia hari ini menuntut kepakaran.

“Lebih baik lagi apabila beliau membawa tawaran segar untuk kebahagiaan rakyat,” katanya sambil menambah penasihat berwibawa juga memainkan peranan penting dalam membentuk dasar.

“Contohnya, faktor utama era bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, yang menyaksikan pertambahan pekerjaan terbesar dan kadar defisit terendah dalam sejarah moden Amerika, adalah pengaruh dua profesor ekonomi dalam Kabinetnya.

“Tetapi dalam serangan Amerika terhadap Iraq, bekas presiden George W Bush mendapat nasihat yang salah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.