Pakatan PH-BN di Perak diteruskan untuk PRU16, kata Nga

Pakatan PH-BN di Perak diteruskan untuk PRU16, kata Nga

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata Umno negeri sebulat suara bersetuju meneruskan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Ketua DAP Perak Nga Kor Ming bersama ahli DAP serta wakil dari kerajaan perpaduan termauk Umno pada Konvensyen DAP Perak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama mereka di Perak pada PRU16, kata Ketua DAP negeri itu Nga Kor Ming.

Nga yang juga naib pengerusi DAP berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Bendahari Umno Perak Sham Mat Sahat, lapor Sinar Harian.

“Sahabat lama saya, Datuk Sham, menyampaikan khabar gembira bahawa Umno Perak telah sebulat suara bersetuju BN akan terus bekerjasama dengan PH pada PRU16.

“Sebab itulah seluruh jentera DAP perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memastikan bukan sahaja calon PH menang, tetapi calon BN juga berjaya,” katanya berucap pada Konvensyen DAP Perak.

Ketua DAP Perak Nga Kor Ming berkata jentera parti mesti bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan calon PH dan BN pada PRU16. (Gambar X)

Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi terbanyak di Perak dengan 26 kerusi, manakala PH memperoleh 24.

BN yang mempunyai sembilan kerusi memilih untuk membentuk kerajaan negeri bersama PH pada 21 Nov 2022.

Nga, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, mengingatkan ahli DAP supaya memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dan mengekalkan perpaduan, sambil menegaskan bahawa persiapan bagi PRU16 telah pun bermula.

Beliau turut menggesa jentera pilihan raya PH-BN menghalang gelombang hijau yang digerakkan PAS daripada menular ke Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.