
Anwar berkata himpunan itu juga diadakan bagi terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.
“Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur, kita juga akan cuba sesuaikan masa, pada waktu malam, kita buat himpunan sedikit untuk (mereka) kongsikan pengalaman, bagus juga,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook yang disertakan rakaman perbualan bersama delegasi Malaysia di Istanbul, Turki.
Pada Khamis lepas, semua 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.
Semalam Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata semua delegasi Malaysia itu dijadual berlepas pulang ke tanah air, esok.
Anwar yang juga penaung Sumud Nusantara turut memaklumkan semua rakyat Malaysia berkenaan berada dalam keadaan baik dan bersemangat kental.
Dalam perbualan itu, Anwar berkata beliau turut menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” kata Anwar.