PH tak tuntut banyak kerusi, kata ketua PKR Sabah

PH tak tuntut banyak kerusi, kata ketua PKR Sabah

Mustapha Sakmud berkata PH mahu mengekalkan kestabilan politik di negeri dan pusat.

Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud, berkata PKR akan mempertahankan kerusi sedia ada termasuk Api-Api dan Inanam masing-masing disandang Christina Liew dan Peto Galim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) tidak menuntut jumlah kerusi besar dalam kerjasamanya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN Sabah akan datang, kata Ketua PKR negeri, Mustapha Sakmud.

Mustapha berkata, Sabah PH hanya mempunyai empat parti komponen, tidak pernah berhasrat menuntut banyak kerusi kerana mengutamakan kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

Beliau berkata, PH bersedia berdepan sebarang kemungkinan susulan penamatan keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) daripada GRS, sambil menyatakan harapan agar parti komponen yang masih kekal akan terus bersatu.

“Apa yang penting ialah kita pastikan kestabilan politik di negeri dan negara kita,” lapor Borneo Post ketika ditanya mengenai STAR dan SAPP yang ditamatkan keanggotaan GRS kerana tidak bersetuju dengan pakatan politik bersama PH.

Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berjalan dan dijangka selesai sebelum pembubaran DUN.

Beliau juga berkata, PKR akan mempertahankan kerusi sedia ada termasuk Api-Api dan Inanam yang masing-masing disandang Christina Liew dan Peto Galim.

“Calon-calon masih dinilai. Presiden PKR dijangka akan membuat pengumuman bila tiba masanya,” katanya.

Pada Rabu, STAR dan SAPP keluar GRS susulan ketidaksefahaman berhubung kerjasama gabungan itu dengan PH pada PRN Sabah.

Semalam, Ketua Penerangan STAR Anuar Ghani mendakwa GRS menawarkan 23 kerusi kepada PH, yang disifatkannya berlebihan dan bertentangan sentimen rakyat Sabah.

Namun, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun menolak dakwaan itu, sambil menegaskan rundingan kerusi masih belum dimuktamadkan.

Beliau memberitahu FMT, bahawa GRS mahu bertanding di 55 daripada 73 kerusi, dan memperuntukkan baki 18 kerusi kepada PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.