
Setiausaha Agung Saw Yee Fung berkata keluarga yang mengisytiharkan pendapatan lalu tergolong dalam kumpulan B40 dan M40 akan dapat menerima subsidi dengan lebih berkesan, di bawah sistem yang dicadangkan bagi Belanjawan 2026 ini.
“Ini akan membantu menyediakan keperluan harian mereka,” katanya.
Cadangan diketengahkan semasa meja bulat perundingan Belanjawan 2026 dengan beberapa wakil dari pertubuhan berasaskan belia Cina di Wisma MCA.
Dalam pada itu, Pemuda MCA menggesa kerajaan memasukkan langkah-langkah menangani pengangguran siswazah, mencadangkan insentif pengambilan pekerja bagi peranan berkemahiran tinggi, dan rebat cukai atau subsidi untuk firma yang menempatkan siswazah dalam pekerjaan yang sepadan dengan bidang pengajian.
Ia juga mencadangkan subsidi penuh untuk kursus pentauliahan mikro dan kursus TVET jangka pendek bagi pelajar IPTA dan IPTS, serta unit TVET bergerak untuk kawasan luar bandar dan terpinggir.
Berkenaan kebajikan pelajar, sayap itu menyeru agar polisi ‘baki sifar’ dimansuhkan, membenarkan pelepasan pinjaman PTPTN secara fleksibel, dan pelan perumahan pelajar nasional yang mengutamakan asrama mampu milik untuk pelajar B40.
Polisi “baki sifar” memerlukan pelajar universiti menjelaskan yuran sepenuhnya sebelum dibenarkan mendaftar untuk kursus.
Dalam satu kenyataan, Pemuda MCA berkata cadangan-cadangan itu mencerminkan cabaran yang dihadapi anak muda, antaranya peningkatan kos sara hidup, pengangguran siswazah, akses latihan tidak sekata, dan perumahan mampu milik.
Katanya, Belanjawan 2026 peluang menangani jurang ini dan meletakkan golongan belia di tengah-tengah pembangunan negara, bukan hanya sebagai penerima tetapi sebagai penyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang Malaysia.