UEC: Mahasiswa serah memorandum bantahan, desak DAP henti tekanan politik

UEC: Mahasiswa serah memorandum bantahan, desak DAP henti tekanan politik

Azamuddin Sahar dari Gamis berkata desakan mengiktiraf UEC disifatkan langkah mundur yang berisiko menjejaskan kontrak sosial.

Azamuddin Sahar (dua dari kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Teih Jian Peng (dua dari kanan) di Ibu Pejabat DAP.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan mahasiswa menyerahkan memorandum bantahan kepada DAP, yang didakwa secara berterusan mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Azamuddin Sahar, berkata bantahan itu dibuat susulan wujudnya tekanan politik daripada DAP terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan.

“DAP perlu menghentikan segera segala desakan dan tekanan politik untuk pengiktirafan UEC dan hormat konsensus nasional serta kerangka Perlembagaan dalam dasar pendidikan.

“DAP sepatutnya menggalakkan sokongan terhadap sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan di Ibu Pejabat DAP.

Beliau juga menyatakan kesediaan Gamis untuk berbincang demi pendidikan berkualiti untuk semua tanpa mengorbankan prinsip nasional.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Teih Jian Peng berkata pihaknya mendengar setiap pandangan semua pihak dan meneliti setiap tuntutan terkandung dalam memorandum berkenaan.

“Isu pendidikan perlu dibincang secara rasional dan berasaskan fakta,” katanya selepas menerima memorandum tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata pendukung bahasa lain perlu menghormati kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromi.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang berkata partinya bercadang menemui Anwar untuk membincangkan pengiktirafan UEC.

Cadangan itu dikritik Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan pelbagai pihak termasuk ahli akademik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.