
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, sesi khas itu boleh diadakan sempena sidang parlimen yang bermula Isnin depan.
“Ini bagi membolehkan satu ketetapan rasmi Parlimen Malaysia dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat oleh wakil rakyat mereka.
“PAS percaya bahawa Parlimen Malaysia perlu bersikap proaktif dan tidak boleh berdiam diri dalam isu sepenting ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Malaysia memohon bantuan Turki untuk membawa keluar 23 aktivis itu termasuk diplomasi dengan negara sahabat bagi menyelamatkan mereka yang ditahan.
Kata Anwar, beliau turut berhubung dengan Amerika Syarikat (AS) termasuk bekas setiausaha negara, Antony Blinken serta Duta Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, bagi membantu menyelaras perjanjian berkaitan.
Sebelum ini, Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Mereka adalah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).