
Beliau berkata, keterbukaan Asean terhadap perdagangan dan pelaburan, yang sekian lama dianggap sebagai kekuatan turut menjadikan rantau ini terdedah.
“Asean sangat terdedah. Kita ialah ekonomi terbuka, bergantung pada perdagangan, aliran modal dan pelaburan langsung asing (FDI). Tanpa FDI, kita tidak mampu mencapai matlamat pembangunan,” katanya menjelang Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan Asean 2025.
“Sebagai contoh, keperluan tenaga Asean akan berganda menjelang 2040. Dari mana dana itu akan datang?”
Nazir turut menyebut kesan tarif Amerika Syarikat (AS) yang memperlahankan pelaburan, serta kebimbangan keselamatan berterusan di Laut China Selatan dan antara negara anggota Asean.
Beliau memberi amaran, AS yang semakin bersifat ‘inward-looking’ boleh melemahkan lagi sistem dunia berasaskan peraturan.
“Asean terdedah kerana ada kawasan yang menjadi ketegangan di Laut China Selatan, malah sesama kita sendiri,” kata Nazir, merujuk pertikaian dua hala antara anggota Asean, Thailand dan Kemboja baru-baru ini.
“Jika Amerika berundur, siapa yang menguatkuasakan peraturan…jaga sempadan? Polis sudah tiada,” katanya.
Nazir juga menggesa Asean mengekalkan peranan utamanya dan mengamalkan pendekatan yang fleksibel.
“Kita perlu mengharungi peraturan dunia baharu bersama, kekal berkecuali tetapi berbilang penjajaran – bekerjasama dengan China dalam beberapa isu, dengan AS dalam isu lain.”
Namun, sambil mengakui cabaran yang wujud, beliau berkata gangguan juga membuka peluang.
“Kekacauan adalah tangga. Ketika peraturan baharu terbentuk, cara kita bertindak dalam beberapa tahun akan datang lebih penting daripada sebelumnya.”
Beliau menyatakan minat global yang semakin meningkat terhadap rantau ini, dengan negara seperti Kanada, New Zealand, Australia dan Rusia mahu mengeratkan hubungan.
Nazir juga menekankan respons sepakat Asean terhadap tarif AS sebagai tanda kemajuan.
Washington mengenakan kadar tarif berbeza ke atas negara Asean, sedangkan mereka saling bersaing dari segi ekonomi, sekali gus menjadikan ia sukar bertindak sebagai satu blok.
Namun, kumpulan Asia Tenggara itu tidak ‘bertindak secara individu’ sebaliknya bekerjasama.
“Anggota Asean dengan cepat bersetuju untuk tidak membalas dengan tarif, berkongsi maklumat mengenai rundingan, dan menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi Asean,” kata Nazir, menyifatkan ia sebagai perkembangan memberangsangkan bagi rantau ini.
Penyelarasan geoekonomi dan peranan Asean dalam peraturan dunia yang sedang berubah akan menjadi tema utama Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan Asean, berlangsung dari 25 hingga 26 Okt di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur.
Untuk maklumat penyertaan layari https://abis.aseanbac.com.my.