Krisis Asia Barat: Kerajaan tubuh pusat arahan komunikasi

Krisis Asia Barat: Kerajaan tubuh pusat arahan komunikasi

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata ia bertujuan menyelaras aspek komunikasi terutama berkaitan respons dan langkah diambil kerajaan.

Fahmi Fadzil
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata sebagai permulaan sidang media berkaitan respons terhadap krisis tenaga global dan perkembangan geopolitik semasa akan diadakan setiap hari bermula esok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi bagi menyampaikan maklumat rasmi berkaitan respons terhadap krisis tenaga global dan perkembangan geopolitik semasa susulan kemelut di Asia Barat.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata penubuhan pusat arahan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan akan beroperasi di bawah kerangka Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Katanya, sebagai permulaan sidang media akan diadakan pada 4 petang setiap hari bermula esok yang akan dikendalikan oleh Fadillah.

“Ia bertujuan menyelaras aspek komunikasi kerajaan, terutama berkaitan respons dan langkah yang diambil kerajaan serta agensi berkaitan susulan krisis tenaga global dan situasi konflik di rantau Asia Barat,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri.

Menurut beliau, sidang media itu bakal memberi tumpuan kepada perkembangan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta kesan langsungnya terhadap ekonomi Malaysia.

Katanya, langkah itu dilihat sebagai pendekatan lebih agresif kerajaan dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tepat, tersusun dan tidak bercelaru ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Dalam perkembangan berkaitan, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan kewangan dan ekonomi dalam masa terdekat.

“Langkah ini untuk menyampaikan pandangan dan juga ikhtiar kerajaan yang dirangka setakat ini khusus berkait isu-isu ekonomi dan kewangan akibat daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat dan kesan kepada ekonomi negara akibat daripada krisis tenaga global,” katanya.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa beberapa mesyuarat Asean tahun ini akan dilaksanakan secara dalam talian, kecuali pertemuan melibatkan ketua-ketua kerajaan.

Antara yang terdekat ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean yang akan diadakan secara dalam talian, selari dengan langkah berjaga-jaga susulan situasi geopolitik semasa.

Dalam perkembangan sama, Fahmi turut memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan mengadakan mesyuarat bersama menteri besar, premier dan ketua menteri esok bagi membincangkan isu kesan ekonomi serta keselamatan negara susulan konflik di Asia Barat.

Fahmi turut memaklumkan kerajaan kini berada di peringkat akhir dalam memperhalusi dasar kerja dari rumah bagi sektor awam sebagai usaha untuk menginstitusikan pengaturan kerja fleksibel sebagaimana dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.

Katanya, Jemaah Menteri juga diberi taklimat mengenai perkembangan terkini, dengan butiran sedang dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar, di mana pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat.

Sementara itu, Fahmi berkata KSN juga sedang meneliti langkah mengurangkan kerenah birokrasi dalam permohonan lesen perniagaan dan memudahkan urusan sektor terjejas akibat krisis global.

“KSN diarahkan untuk meneliti dan seterusnya melaporkan kepada Jemaah Menteri usaha-usaha untuk mengurangkan kerenah biokrasi terutamanya bagi industri, sektor ataupun perniagaan yang terkesan akibat krisis tenaga global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.