2 ditahan dalam protes depan Kedutaan AS

2 ditahan dalam protes depan Kedutaan AS

Polis berkata lelaki terbabit ditahan kerana menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas kawalan keselamatan.

kecoh protes US embassy KL
Polis berkata kira-kira 50 peserta terlibat dalam himpunan dan keadaan menjadi tegang selepas beberapa peserta mula menghalang aliran trafik di Jalan Tun Razak.
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki kerana didapati menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas kawalan keselamatan protes di depan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di ibu negara petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kedua-duanya berusia 23 dan 32 tahun kini disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Fadil berkata, kira-kira 50 peserta terlibat dalam himpunan itu dan keadaan menjadi tegang selepas beberapa peserta mula menghalang aliran trafik di Jalan Tun Razak.

Katanya, keadaan itu mencetuskan kekecohan apabila seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat disiku peserta himpunan.

Dalam pada itu, Fadil menasihatkan pihak penganjur dan peserta mematuhi peraturan dan undang-undang semasa berhimpun.

Menurutnya, ini selaras hak kebebasan berhimpun secara aman diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berhemah. Polis menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan bersedia memberi kerjasama serta sokongan bantuan keselamatan,” katanya

Bagaimanapun, beliau berkata polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan atau individu melanggar undang-undang.

Terdahulu, protes di depan Kedutaan Besar AS di ibu negara diadakan susulan tindakan Israel menahan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.