
Presiden Syed Hussain Syed Husman, berkata perniagaan perlu mengambil langkah praktikal yang tidak menjejaskan produktiviti atau kesinambungan operasi.
“Bagi sektor swasta, ini termasuk melaksanakan aturan BDR untuk peranan bukan kritikal jika boleh dilaksanakan, menggalakkan inisiatif berkongsi kereta, dan promosi meluas penggunaan pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan.
Syed Hussain turut menggesa majikan menilai semula amalan operasi, terutamanya berkait logistik dan perjalanan perniagaan, selain meminimumkan perjalanan tidak perlu.
“Pada masa sama, penggunaan platform mesyuarat dalam talian perlu dipergiat bagi mengurangkan keperluan perjalanan fizikal,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan sektor swasta melaksanakan aturan BDR buat sementara mengambil kira kesan susulan konflik Timur Tengah.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata aturan BDR akan diperkenalkan secara berperingkat bagi kumpulan penjawat awam terpilih.
Syed Hussain berkata, MEF menyokong penuh langkah penyelarasan bahan api kerajaan sebagai tindak balas terhadap turun naik pasaran tenaga global.
Namun, beliau menegaskan kembali bahawa pelaksanaannya mestilah pragmatik, dilakukan berfasa, dan peka terhadap realiti sektor tertentu.
“Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ tidak praktikal. Industri yang berbeza menghadapi kekangan operasi pelbagai, dan perniagaan mesti diberi keanjalan melaksanakan langkah-langkah paling sesuai dengan keperluan masing-masing.”
Beliau juga mencadangkan Putrajaya untuk mengumumkan sokongan bersasar bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk insentif cukai dan geran bagi pelaburan cekap tenaga.
Syed Hussain turut menyeru komunikasi jelas dan konsisten berhubung pengumuman dasar utama kerajaan.
“Apabila penggubal dasar memberikan hala tuju dan sokongan yang jelas, perniagaan akan memacu kecekapan serta inovasi, dan rakyat pula akan mengamalkan tabiat penggunaan lebih bertanggungjawab,” katanya.