Zara beritahu kemungkinan terjun dari tingkat 3, kata saksi

Zara beritahu kemungkinan terjun dari tingkat 3, kata saksi

Pelajar Tingkatan 1 itu turut bertanya sama ada saksi akan 'bersedih'.

Zara Qairina
Saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa dia dan Zara Qairina Mahathir kawan yang tinggal dalam bilik sama. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu Zara Qairina Mahathir, 13, pernah memberitahu seorang saksi mengenai kemungkinan terjun dari tingkat tiga.

Peguam Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak, berkata saksi kelapan kanak-kanak itu menjelaskan Zara hanya diam apabila bertanya kenapa arwah kata begitu.

“Zara pernah berkata kepada saksi ‘bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedihkah’. Lepas itu saksi jawab ‘kenapa kamu cakap begitu? Tidak bagus’. Kemudian Zara diam.

“Saksi berkata pada masa itu hanya mereka berdua berada di hadapan biliknya. Saksi berkata Zara melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung dan kejadian itu berlaku sekitar bulan April 2025,” katanya menurut Berita Harian selepas selesai prosiding.

Ram berkata, saksi berkenaan tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah mereka dan dia mengaku tidak pernah mempunyai konflik dengannya.

Katanya, saksi juga tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu pelajar lain.

“Saksi juga tidak pernah nampak sesiapa pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara di bilik asrama atau sekolah,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, saksi berkenaan mengenali Zara kerana tinggal di bilik sama, tetapi hanya kawan biasa.

Katanya, saksi turut menceritakan perilaku arwah ketika di bilik asrama yang sentiasa tidur di atas permaidani sendiri di atas lantai bilik kerana malas memasang cadar.

“Saksi juga menceritakan pada malam 15 Julai lalu, semasa saksi berada di bilik asrama, saksi mendengar ada orang panggil Zara datang ke bilik sebelah.

“Selepas itu saksi nampak Zara pergi ke bilik sebelah dan saksi dimaklum oleh rakan sebilik bahawa Zara dipanggil untuk berjumpa senior pasal kehilangan barang di ‘dorm’.

“Selepas Zara kembali ke ‘dorm’ mereka, katanya dia (arwah) terus baring di lantai dan menangis. Zara juga ada teriak sambil bercakap ‘aku nda curi bah, sial’.”

Ram berkata, saksi berkenaan menjelaskan sebelum itu pelajar senior tidak pernah berjumpa dengan Zara dan setahu saksi, hanya sekali pada malam 15 Julai itu saja.

“Saksi berkata, selepas Zara berjumpa dengan senior di bilik sebelah, Zara nampak seperti terganggu, Zara baring di lantai sambil menangis di depan almari. Zara tidak pernah menjerit dan menangis sebelum ini.

“Saksi menjelaskan Zara juga tidak pernah mengadu mengenai masalah sendiri atau berkonflik dengan sesiapa. Zara tidak pernah mengadu mengenai gangguan ketika di asrama seperti buli, tekanan belajar, dan keletihan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.