Ketua Bersatu Tasek Gelugor desak parti pecat Wan Saiful

Ketua Bersatu Tasek Gelugor desak parti pecat Wan Saiful

Azmi Alang berkata Wan Saiful Wan Jan didapati bersikap biadab, menjatuhkan maruah parti dan kredibiliti perjuangan parti.

Azmi Alang berkata tindakan memecat Wan Saiful Wan Jan adalah satu-satunya jalan keluar demi kelangsungan parti dan menunjukkan ketegasan.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Saiful Wan Jan digesa dipecat kerana bersikap biadab menjatuhkan maruah parti dengan mengeluarkan kritikan terbuka termasuk terhadap Setiausaha Agung Azmin Ali.

Desakan itu dibuat Ketua Bersatu Tasek Gelugor Azmi Alang yang menyifatkan kenyataan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen kawasan itu sebagai biadab dan menjatuhkan kredibiliti perjuangan parti.

Menurut Adun Teluk Ayer Tawar itu, seorang wakil rakyat seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat, membawa hujah berasaskan fakta dan solusi, bukannya mengulang retorik murahan demi kepentingan peribadi.

Tegasnya, tindakan itu dilihat sebagai mementingkan publisiti diri dan Bersatu tidak lagi boleh berdiam diri bagi mengelakkan imej parti terus terjejas.

“Saya mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas, termasuklah memecat beliau, demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan kita.

“Tingkah laku beliau hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, memecat Wan Saiful adalah satu-satunya jalan keluar demi kelangsungan parti dan menunjukkan ketegasan.

Terdahulu, Wan Saiful dalam sidang medianya antaranya mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung ‘video melampau’ yang didakwa membabitkan dirinya belum diselesaikan.

Pada 2019, beberapa klip video tular yang didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan homoseksual di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.

Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.