Penyediaan dokumentasi untuk China tandatangani protokol SEANWFZ lancar

Penyediaan dokumentasi untuk China tandatangani protokol SEANWFZ lancar

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata ia adalah proses panjang untuk tandatangani protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara itu.

Mohamad Hasan berkata selepas China, negara lain seperti Amerika Syarikat mula menyatakan untuk menandatangani SEANWFZ dan tidak lagi meletakkan syarat-syarat. (Gambar Bernama)
NEW YORK:
Proses penyediaan dokumentasi untuk negara China menandatangani protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) setakat ini berjalan lancar, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Berkongsi mengenai perkembangan itu, Mohamad menegaskan ia merupakan satu proses yang panjang bagi menandatangani protokol terbabit.

“Ketika ini perkembangannya amat baik, malah keputusan China yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menandatangani protokol SEANWFZ tanpa sebarang syarat itu amat kita (Asean) alu-alukan.

“Selepas kenyataan China itu, negara lain seperti Amerika Syarikat sudah mula menyatakan bahawa mereka juga mahu menandatangani (SEANWFZ) dan tidak lagi meletakkan syarat-syarat,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini pada Sabtu selepas selesai menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025.

Pada Julai lepas, Mohamad pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 di Kuala Lumpur berkata China menzahirkan komitmen untuk menandatangani perjanjian SEANWFZ tanpa sebarang syarat, dan ia akan dilakukan sebaik semua proses dokumentasi selesai.

Perjanjian SEANWFZ, atau Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 oleh negara anggota Asean sebagai komitmen menjadikan Asia Tenggara zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran. Ia mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

SEANWFZ merupakan satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) di dunia, selain zon di Amerika Latin, Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika, dan Asia Tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.