Proses serah Pelabuhan Bintulu di peringkat dokumentasi akhir, kata Loke

Proses serah Pelabuhan Bintulu di peringkat dokumentasi akhir, kata Loke

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata draf perjanjian akhir telah siap dan kini menunggu pengesahan Jemaah Menteri sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan.

bintulu port
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata mesyuarat terakhir bersama Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan proses penyerahan Pelabuhan Bintulu. (Gambar Bintulu Port)
KOTA SAMARAHAN:
Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak dijangka selesai dalam beberapa bulan akan datang selepas semua isu utama dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Menurutnya, satu mesyuarat terakhir bersama Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan perkara itu.

“Sekarang ini tengah dimuktamadkan perjanjian akhir kerana isu perundangan dan isu harga telah selesai.

“Seperti saya umumkan sebelum ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sudah mencapai kata sepakat mengenai kos akhir bagi penyerahan itu,” katanya selepas Majlis Perasmian Laluan Baharu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti BAS.MY Kuching, di sini.

Beliau berkata, draf perjanjian akhir telah disiapkan dan kini menunggu pengesahan Jemaah Menteri sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan.

Jelasnya, proses itu mengambil masa memandangkan akta berkaitan pembubaran Lembaga Pelabuhan Bintulu diluluskan kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, penguatkuasaan pembubaran lembaga itu dan penyerahan rasmi kepada kerajaan Sarawak masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan persekutuan dan Sarawak secara prinsipnya bersetuju pengambilalihan Pelabuhan Bintulu pada kos RM1.8 bilion, yang diumumkan pada sidang Dewan Rakyat Februari lalu.

Sementara itu, Loke berkata, Kementerian Ekonomi meluluskan projek menaik taraf bangunan Lapangan Terbang Miri membabitkan kos RM445 juta di bawah Rolling Plan 1 Tahun 2026 Rancangan Malaysia Ke-13 pada bulan lalu.

Jelasnya, projek menaik taraf bangunan itu dijangka bermula tahun ini, selepas kelulusan kos dibuat berdasarkan semakan Sesi Pemurnian Makmal Kajian Nilai pada 17 Mac lalu.

“Pembesaran Lapangan Terbang Miri penting memandangkan ia lapangan terbang kedua tersibuk di Sarawak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Selain menjadi lapangan terbang domestik utama, Lapangan Terbang Miri turut berperanan sebagai hab utama bagi perkhidmatan udara luar bandar untuk syarikat penerbangan AirBorneo.”

Beliau berkata, perkhidmatan itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan pedalaman di Sarawak dengan bandar utama serta meningkatkan akses pengangkutan udara bagi penduduk luar bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.