BUDI95: Wajah gembira penerima STR tanda kelegaan

BUDI95: Wajah gembira penerima STR tanda kelegaan

Bagi pekerja kilang seperti Juraini Imran, yang bergantung pada kenderaan sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja, pengurangan harga RON95 beri kelegaan besar.

Voxpop penerima STR tebus BUDI95 at Shell Pintasan Dengkil
Penerima STR guna MyKad untuk membeli RON95.
SEPANG:
Pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula dinikmati oleh penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencetuskan rasa syukur dan kelegaan.

Berita baik ini bukan sekadar tentang penjimatan, tetapi memastikan setiap sen bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat yang paling memerlukan.

Tinjauan di stesen minyak hari ini mendapati rata-rata penerima menyambut baik langkah itu, disifatkan bukan sahaja menjimatkan kos harian, malah memastikan subsidi diagih secara telus.

Bagi Suhaila Sallehudin, 48, kaedah pengesahan menggunakan MyKad langkah tepat, memuji pendekatan bersasaran kerana mengutamakan rakyat.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dengan subsidi yang diberi kerajaan,” katanya.

Beliau berkongsi pengalaman positif mencuba pembelian pertama, yang mana “semuanya berjalan lancar, tidak ada masalah.”

Suhaila sebahagian daripada kumpulan kedua BUDI95 yang mula menikmati manfaat penjimatan hari ini, sebelum program diperluas kepada semua warganegara pada 30 Sept. Fasa pertama dimulakan semalam, melibatkan anggota polis dan tentera.

Juraini Imran
Juraini Imran.

Lega nafas pencari nafkah

Sementara itu, bagi pekerja kilang seperti Juraini Imran, 31, yang bergantung sepenuhnya pada kenderaan sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja, pengurangan harga RON95 memberikan kelegaan yang besar.

“Kelayakan 300 liter petrol sebulan cukuplah untuk kegunaan saya. Dengan RON95 berharga RM1.99 berbanding RM2.60 (harga asal), memang menjimatkan,” jelasnya.

Samugam Senderam
Samugam Senderam.

Inisiatif ini dirasakan hadir tepat pada waktunya bagi Samugam Senderam, 68, seorang pemandu teksi yang menanggung empat orang anak dan bergantung pada pendapatan harian yang tidak menentu.

“Saya sangat teruja, lagi murah lagi bagus. Kalau kita tidak guna subsidi yang diberikan kerajaan, kita sendiri yang rugi,” ujarnya, membayangkan penjimatan pasti akan dapat digunakan untuk keperluan lain.

Samugam turut berkongsi, beliau sudah bersedia awal dengan memastikan cip MyKad dan lesen memandu diperbaharui bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Operator stesen minyak sedia bantu

Dari sudut pengurusan, inisiatif ini dilihat berjalan lancar hasil persiapan rapi. Seow Lee Ming, pengurus besar Shell Mobiliti Malaysia, berkata persediaan hampir setahun bersama Kementerian Kewangan dan rakan niaga membuahkan hasil.

Seow Lee Min
Seow Lee Ming.

“Pada hari pertama dan kedua ini, trafik berjalan lancar tanpa kesesakan. Kami juga sedia membantu mendidik orang ramai untuk bersiap sedia menjelang tarikh 30 Sept ini,” katanya.

Shell juga mengambil inisiatif proaktif dengan menyediakan perkhidmatan istimewa ‘Hero Subsidi’ di seluruh stesen mereka, yang sedia membantu pengguna mendapatkan maklumat terperinci mengenai cara pembayaran bawah BUDI95.

Selain memastikan kebajikan rakyat kekal dipelihara, penyasaran subsidi RON95 mencerminkan pendekatan kerajaan Madani dalam menangani ketirisan dan penyeludupan RON95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat akan menerima harga siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada harga RM1.99/liter. Pemandu e-panggilan diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu, dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.

Hari ini, sistem BUDI95 dibuka kepada kira-kira lima juta penerima STR.

Ia akan diikuti warganegara berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, bermula 30 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.