PRS kurang kredibiliti penyatu Dayak, terdedah pengaruh PDP diketuai Tiong, kata penganalisis

PRS kurang kredibiliti penyatu Dayak, terdedah pengaruh PDP diketuai Tiong, kata penganalisis

PRS perlu tangani kelemahan mengekang pengaruh parti sekutu dalam GRS menjelang pemilihan parti.

John Sikie Tayai Aaron Ago Dagang
John Sikie Tayai dan Aaron Ago Dagang dilihat calon serius untuk jawatan presiden PRS, walaupun Aaron belum memberikan petunjuk sama ada berhasrat bertanding pada pemilihan parti yang akan datang.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpendapat Parti Rakyat Sarawak (PRS) mungkin berdepan tempoh mencabar berikutan jentera pilihan raya yang lemah dan tekanan parti sekutu dalam gabungan untuk menjadi suara dominan bagi orang Dayak.

James Chin dan Jayum Jawan kedua-duanya, berkata kelemahan utama PRS terletak pada kekosongan kepimpinan selepas kematian pengasas dan pemimpin lama parti berpengaruh, James Jemut Masing, pada Oktober 2021.

Mereka berpandangan penggantinya, presiden yang bakal berundur Joseph Salang Gandum, gagal mengukuhkan pegangan parti ke atas masyarakat Dayak dan dilihat kurang berpengaruh, lebih gemar kekal di belakang tabir serta menjauhkan diri daripada perhatian umum.

Chin, dari Universiti Tasmania, berkata dengan pilihan raya dijadualkan tidak lama lagi, tiada calon yang muncul setanding dengan kredibiliti politik Masing, yang ditempa semasa era politik Dayak yang ‘hangat’ pada 1980-an.

James Chin
James Chin.

Beliau menamakan Parti Demokratik Progresif (PDP) — sekutu PRS dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) — sebagai ancaman luaran utamanya.

Beliau menyifatkan presiden PDP dan menteri persekutuan, Tiong King Sing, bergerak ‘cukup agresif’ dalam usaha parti itu menggantikan PRS, sebagai suara dominan dalam kalangan orang Dayak.

“Masalah besar bagi PRS adalah mereka tidak pernah mampu menyatukan semua kumpulan utama Dayak di Sarawak.”

Chin berkata, orang Dayak kini terbahagi kepada tiga parti, dengan PRS berada di tengah-tengah antara PDP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Dan amat jelas PDP sedang cuba mengambil alih kedudukan PRS.”

“PRS menjenamakan dirinya sebagai ‘rumah terakhir’ bagi nasionalis Dayak atau Iban. Masalahnya, penjenamaan ini tidak lagi berkesan seperti pada zaman Masing,” katanya kepada FMT.

jayum jawan
Jayum Jawan.

Felo Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jayum, berkata pelantikan Salang sebagai presiden PRS tidak banyak membantu memulihkan parti, memandangkan beliau tumpas dalam kerusi parlimen pada PRU 2022.

Atas sebab itu, sokongan Salang terhadap menteri negeri, John Sikie Tayai, untuk jawatan presiden PRS tidak mempunyai banyak pengaruh, katanya.

Sikie pilihan utama

Namun, Jayum dan Chin menjangkakan Sikie akan menang jawatan presiden parti tanpa banyak cabaran.

Chin berkata, kelebihan utama Adun Kakus selama sembilan penggal itu adalah jawatan beliau dalam Kabinet negeri dan kerja akar umbi yang meluas telah dilakukan sejak dipilih pada 1991.

Beliau berkata, dalam sebuah parti berteraskan Dayak, jawatan Kabinet negeri lebih berpengaruh daripada jawatan persekutuan kerana ia menyediakan akses terus kepada sumber dan juga kepada premier.

Jayum menamakan menteri persekutuan, Aaron Ago Dagang, sebagai satu-satunya calon serius lain untuk jawatan presiden PRS, walaupun Aaron masih belum memberikan sebarang petunjuk sama ada akan bertanding atau tidak.

Beliau berkata, calon lain berhasrat untuk bertanding, seperti Adun Pelagus dua penggal, Wilson Nyabong Ijang, bergelut untuk mendapatkan pencalonan diperlukan, manakala ketua sayap Wanita, Doris Sophia Brodie, berdepan cabaran besar kerana perwakilan PRS ‘belum bersedia mempunyai seorang wanita memimpin parti’.

Jayum berkata, PRS mesti menetapkan hala tuju dan visi baharu demi mendapatkan semula pengaruh di Sarawak.

Beliau menggesa parti itu mengadakan debat terbuka dalam kalangan calon kepimpinan bagi membolehkan perwakilan mengenal pasti calon ideal memimpin parti ke hadapan.

Ditanya sama ada Sikie mampu menandingi perluasan pengaruh PDP, Chin menyuarakan ketidakpastian.

“Siapa tahu? Beliau adalah pemimpin paling kanan dalam PRS sekarang. Jika jadi presiden, menjadi tugasnya meluaskan pengaruh PRS dan melawan PDP.”

PRS kini mempunyai 11 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak dan lima di Dewan Rakyat, namun PDP merapatkan jurang dengan lima kerusi negeri dan dua kerusi persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.