
Filem itu mengisahkan Melina, wanita terkandas di kawasan sawah selepas keretanya rosak ketika dalam perjalanan pulang menyambut Gawai bersama keluarga di Sarawak.
Dalam keadaan panik dan keseorangan, Melina dibantu seorang pemuda kampung, Daniel, sebelum dipertemukan dengan komuniti kecil pelbagai kaum dan latar budaya.
Melina kemudian ‘menumpang singgah’ di rumah Kak Lidia sementara menunggu keretanya dibaiki, namun persinggahan singkat itu membuka makna lebih besar tentang kekeluargaan, hormat-menghormati dan penerimaan dalam masyarakat berbilang kaum.
Setiausaha Akhbar Menteri Perpaduan Negara, S Shatesh Kumar, dalam kenyataan berkata filem itu membawa mesej ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’ sebagai inti pati utama penceritaan.
“Dalam setiap perayaan, terjalin kebersamaan yang mengeratkan kita sebagai satu keluarga besar,” katanya.
‘Singgah’ turut mengetengahkan elemen budaya Sabah dan Sarawak menerusi penggunaan pelbagai dialek, makanan tradisional, tarian Sumazau dan Ngajat, serta suasana persiapan sambutan Gawai dan Kaamatan.
Filem pendek itu menampilkan Muhammad Mokhtar Iskandarsyah sebagai Daniel, selain Kueh Mei Fung, Nurfatin Zulmisya Zulhazmi, Vallyssa Vallery Henry, Carvinnia Elzavina, R Sindu, Dexter Lim Zhen Qin dan Abdul Rahman Lee.

Model dan pelakon baharu Mohammad Eusoff Abu Talib turut membuat penampilan khas sebagai cameo.
Berlatarkan panorama sawah dan suasana kampung, ‘Singgah’ menggunakan pendekatan penceritaan ringkas tanpa konflik berat, sebaliknya menyentuh emosi penonton melalui momen harian seperti makan bersama dan persiapan perayaan.
Ia boleh ditonton secara dalam talian menerusi media sosial Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, Kementerian Perpaduan Negara dan agensi di bawahnya bermula esok.