
Tiga calon berkenaan ialah Henry Saimpon yang pernah mewakili pasukan bola sepak Sabah, penyanyi veteran John Samud serta bekas setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah, Rusdin Riman.
Pengumuman dibuat oleh Timbalan Presiden Wetrom Bahanda, yang juga pengarah jentera pilihan raya parti pada satu majlis parti bagi DUN Paginatan, Ranau.
Menurut Wetrom, Henry diketengahkan di DUN Kiulu, manakala John akan mewakili parti di Tempasuk dan Rusdin pula di Paginatan.
“Ketiga-tiga calon ini membawa latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai semangat dan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita yakin mereka mampu memberi saingan yang kuat pada PRN akan datang,” menurut kenyataan.
Sebelum ini, KDM mengumumkan beberapa calon termasuk Jeffry Mohd Ali (bagi DUN Kundasang), Dr Oswald Aisat Igau (Tulid), Dr Gaim Lunkapis (Tamparuli), Mckery Victor (Moyog), dan Almudin Kaida (Pintasan).
Penggal DUN Sabah akan tamat 11 Nov ini, jika tidak dibubarkan lebih awal. PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.