Zaliha menghadap Sultan Selangor bentang pelan Warisan KL

Zaliha menghadap Sultan Selangor bentang pelan Warisan KL

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pelan itu beri penekanan kepada pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad yang amat dekat dihati baginda.

Dr Zaliha Mustafa (kiri) Sharafuddin Idris Shah
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa (kiri) ketika menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. (Gambar Dr Zaliha Mustafa)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membentangkan pelan pelaksanaan Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).

Zaliha dalam hantaran Facebook berkata, pelan itu memberi penekanan kepada pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad yang amat dekat dihati baginda.

Pertemuan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Khazanah Nasional.

Pada April lalu, Zaliha berkata Warisan KL dijangka menjana nilai ekonomi berjumlah RM7.85 bilion menjelang 2035, dipacu pembangunan berasaskan warisan dan pelancongan budaya yang menarik jutaan pelancong ke bandar raya ini.

Tambahnya lagi, inisiatif Warisan KL selari dengan matlamat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.

Pada masa sama, beliau berkata projek itu membawa makna lebih mendalam iaitu menghormati masa lalu sambil membentuk masa depan yang inklusif, adil dan penuh kehidupan.

Sementara itu, dalam sesi berasingan, Zaliha berkata Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima taklimat mengenai isu semasa di Kampung Sungai Baru serta perancangan jangka panjang pembangunan Kampung Bharu.

“Baginda menzahirkan persetujuan terhadap rancangan pembangunan menyeluruh Kampung Bharu dengan menekankan kepentingan orang Melayu perlu terus dipelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.