PRN Sabah: 3 kerusi masih dalam rundingan elak pertembungan PH-BN

PRN Sabah: 3 kerusi masih dalam rundingan elak pertembungan PH-BN

Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail berkata agihan kerusi PH-BN hampir selesai dan lancar.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Sabah, dengan hanya dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan satu sama lain.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan mengenai agihan kerusi melibatkan PH, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjalan lancar dan ‘positif’.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PH berkata walaupun wujud tuntutan bertindih terhadap kerusi tertentu, perbincangan secara bersama akan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

“Antara PH dengan BN, kita sudah hampir selesai, tinggal dua atau tiga kerusi saja lagi bagi mengelakkan pertindihan.

“Sementara PH dan GRS juga hampir selesai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu program di Kota Kinabalu.

Umno Libaran pada minggu lalu menyuarakan hasrat mahu bertanding semula di DUN Gum-Gum, walaupun perbincangan Sekretariat War Room UMNO dan PH memutuskan kerusi berkenaan diberikan kepada PH.

Ketua Suhaimi Nasir dilaporkan berkata tuntutan itu dibuat kerana kerusi berkenaan asalnya adalah milik Umno, dan parti itu telah menggerakkan jentera di kawasan tersebut sejak sekian lama.

Pada PRN 2020, BN bertanding di kerusi itu yang dimenangi oleh Warisan menerusi calonnya Arunarnsin Taib.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau diberi tanggungjawab sebagai penyelaras bagi rundingan kerusi antara PH dan GRS, selain turut menyelaras rundingan antara PH dan BN.

Sebelum ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN17, kecuali GRS.

Pada 5 Sept, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH dilaporkan berkata gabungannya akan akan terus berbincang dengan BN dan GRS walaupun dua parti itu memutuskan tiada bekerjasama pada PRN Sabah.

Mengulas pertemuannya pagi tadi bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, Saifuddin menyifatkannya sebagai lanjutan kepada beberapa perbincangan peringkat teknikal yang dijalankan sebelum ini.

“Tadi lebih kepada perbincangan secara makro bagaimana sedaya upaya kita cuba mendekatkan jurang bagi mengelakkan sebarang potensi pertembungan. Pertemuan ini berlangsung dengan baik dan sangat produktif,” katanya.

Beliau berkata hasil pertemuan itu akan dibentangkan kepada perdana menteri dan Perdana Menteri dan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.