
Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin menggesa Suhaimi tidak masuk campur rundingan dalaman PH dan berkata, keputusan sedemikian terletak di tangan kepimpinan tertinggi gabungan pemerintah itu.
Menurutnya, PH sudah menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung kerjasama pada PRN Sabah.
“PH telah menyatakan ia akan bekerjasama dengan GRS dan BN, jadi saya rasa PH memang konsisten dalam keputusan itu,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Suhaimi yang juga ketua penerangan Umno Sabah dilaporkan berkata, PH mesti menjelaskan sama ada ia akan memihak kepada BN atau GRS jika berlaku pertindihan kerusi untuk mengelakkan isu itu menjadi punca pergeseran.
Katanya, PH perlu telus kerana bersekutu dengan BN dan GRS, walaupun dua gabungan itu bersaing di peringkat negeri.
Razeef bagaimanapun menegaskan Suhaimi tiada hak mengarah-arahkan PH.
“Beliau sepatutnya fokus pada BN saja.”
Mengulas ketegangan antara BN dengan GRS, Razeef berkata, masalah itu berbangkit daripada BN sendiri.
“Konflik antara BN dan GRS adalah hal mereka. Jangan heret PH dalam masalah dimulakan pemimpin BN Sabah yang keras kepala.”
Awal bulan ini, Pengerusi GRS, Hajiji Noor dilaporkan berkata, gabungan itu akan terus bekerjasama dengan PH pada PRN akan datang, selepas BN dan Umno Sabah menolak berbuat demikian.
PH, BN dan GRS adalah sekutu di peringkat persekutuan, tetapi BN merupakan pembangkang di Sabah.
Sabtu lalu, Pengerusi BN, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, gabungan itu tidak bercadang meletakkan calon di semua 73 kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Sabah.
Penggal Dewan Undangan Negeri Sabah akan tamat 11 Nov ini, melainkan ia dibubarkan lebih awal dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.