Afdlin dakwa ada ‘kartel’ kawal industri filem

Afdlin dakwa ada ‘kartel’ kawal industri filem

Presiden FDAM itu berkata kartel itu berkuasa tentukan filem mana dapat slot tayangan utama dan filem mana ditenggelamkan tanpa promosi dan ruang yang adil.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Afdlin Shauki mendakwa kejayaan sesebuah filem di pawagam bukan lagi ditentukan oleh kualiti karya tetapi ‘tangan ghaib’ yang mengawal pengedaran dan pemasaran.
PETALING JAYA:
Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Afdlin Shauki mendakwa ada ‘tangan ghaib’ atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Afdlin berkata kartel ini berkuasa menentukan filem mana yang akan mendapat slot tayangan utama dan filem mana yang akan ‘ditenggelamkan’ tanpa promosi dan ruang yang adil.

Katanya, kartel itu juga berkuasa untuk menentukan siapa yang akan untung dan siapa yang akan rugi.

“Kita tidak boleh menutup mata terhadap realiti yang menghantui pembikin filem Malaysia. Ramai rakan pengarah, penerbit, dan penulis menceritakan kepada saya tentang kewujudan kartel dalam industri.

“Kita membuat filem dengan penuh rasa dan pengorbanan, tetapi bila sampai ke panggung, kejayaan bukan lagi ditentukan oleh kualiti karya tetapi ditentukan ‘tangan ghaib’ yang mengawal pengedaran dan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Afdlin lagi, keadaan itu menyebabkan pembuat filem tempatan seperti berjudi dengan nasib dan bukannya bergantung kepada kuali serta hasil karya itu sendiri.

“Walau sehebat mana pun karya itu, tanpa kerjasama panggung dan pengedar, filem itu tidak akan berjaya,” katanya.

Afdlin berkata untuk membebaskan industri filem Malaysia daripada kawalan kartel, beliau menyimpan impian bahawa suatu hari nanti pembikin filem boleh menjual karya terus kepada penonton tanpa bergantung kepada sistem lama.

“Hari ini, impian itu mula mengambil bentuk melalui keberanian Eirma Fatima dengan penciptaan Karya Reels.

“Platform ini bukan sahaja membolehkan karya ditonton, tetapi lebih penting lagi, ia memastikan hasil kerja karyawan kekal milik pencipta asal,” katanya.

Menurutnya, jika lebih ramai pembikin filem, penulis dan penerbit menyokong ekosistem seperti itu, kartel tidak lagi berkuasa, manakala penonton boleh menonton karya tulen terus daripada pencipta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.