
Pengerusinya, Hans Isaac berkata, Finas kini dalam proses menambah baik dasar serta peraturan sedia ada.
Ini termasuk rombakan kecil terhadap akta dan dasar perfileman bagi memastikan keadilan serta peluang saksama kepada semua penerbit.
Hans menambah, pihaknya juga telah menghubungi Afdlin Shauki untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan wujudnya kartel itu.
“Tugas Finas dalah memastikan setiap proses melalui cara yang telus dengan tatacara dan tatakelola yang betul,” katanya selepas penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0) di ibu negara hari ini, lapor Bernama.
“Masyarakat tahu yang kita ada proses dan kami sentiasa patuhi proses itu. Cuma kadang-kadang, selepas beberapa lama benda akan bertukar, seperti dulu kita ‘shoot’ (guna) 35mm filem tetapi sekarang digital. Begitu juga dengan proses wajib tayang dan penempatan filem, semua ini proses menambah baik.”
Terdahulu dilaporkan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia Afdlin Shauki mendakwa wujud ‘tangan ghaib” atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan, termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.
Afdlin menyifatkan keadaan itu menyebabkan pembikin filem seperti ‘berjudi dengan nasib’ kerana kualiti karya tidak lagi menjadi penentu utama.
Mengulas kemunculan platform alternatif termasuk aplikasi baharu yang dibangunkan oleh pengarah Erma Fatima, Hans menyifatkannya sebagai perkembangan positif kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada penerbit menyalurkan karya mereka.
“Siapa sahaja boleh berniaga dan tunjukkan konten mereka. Kami (Finas) tidak akan halang, asalkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan.
“Jika tidak melanggar syarat, Finas akan terus memberi sokongan,” katanya.