Rombakan Finas jamin peluang adil, mampu hapus budaya ‘kartel’

Rombakan Finas jamin peluang adil, mampu hapus budaya ‘kartel’

Arahan agar Finas rombak sepenuhnya jawatankuasa teliti permohonan dalam industri filem untuk pastikan peluang diagih saksama, kata menteri komunikasi.

finas
Fahmi Fadzil berkata, Finas telah diarahkan rombak sepenuhnya keanggotaan jawatankuasa yang meneliti permohonan dalam industri filem beberapa bulan lepas.
KUALA LUMPUR:
Rombakan dalaman yang sedang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dijangka akan membuka ruang lebih adil dan telus bagi industri perfileman tempatan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, langkah itu sebahagian komitmen berterusan kerajaan dalam membendung amalan tidak sihat yang sebelum ini dikaitkan dengan kewujudan ‘kartel’ dalam proses permohonan dan kelulusan projek filem.

“Dari mula jejak kaki ke Kementerian Komunikasi dan menguruskan Finas, memang (saya) berusaha untuk memecahkan mungkin bukan kartel, tapi sikap serta budaya yang ada selama ini dan proses itu berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perdana: Malaysia, Jompact! di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau belum meneliti sepenuhnya dakwaan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Afdlin Shauki bahawa terdapat kartel dalam industri perfileman tanah air.

Bagaimanapun, beliau menegaskan semangat untuk menangani isu tersebut yang juga menjadi keutamaan kementerian.

Khamis lepas, Afdlin dilaporkan mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan termasuk dari aspek slot tayangan utama, promosi dan pengedaran.

Sehubungan itu, katanya, pembikin filem seperti berjudi dengan nasib kerana kualiti karya bukan lagi menjadi penentu utama.

Fahmi berkata, antara tindakan awal untuk melakukan ‘pembersihan’ termasuk mengarahkan Finas merombak sepenuhnya keanggotaan jawatankuasa yang meneliti permohonan dalam industri filem beberapa bulan lepas.

Langkah itu bertujuan memastikan pengagihan peluang dilakukan secara lebih saksama, tambahnya.

“Banyak organisasi bila mungkin personel, individu, pegawai tertentu telah terlalu lama di satu-satu kedudukan, sering kali terbentuk sikap-sikap yang mungkin tidak begitu disenangi oleh industri, bukan sekadar filem, sama juga dengan pelbagai sektor lain.

“Jadi itu sebab antara lain saya telah minta beberapa bulan yang lepas supaya jawatankuasa contohnya yang meneliti permohonan itu dirombak sepenuhnya. Jadi proses pembersihan itu sebenarnya sedang berjalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.