
Menurut Afdlin, pihaknya cuba menghubungi dan mencadangkan kolaborasi inklusif antara ketua cabang dan Ahli Parlimen dalam pembentukan MPP, namun dua surat rasmi yang meminta perjumpaan dan perbincangan tidak mendapat sebarang maklum balas.
Katanya, surat permohonan bertarikh 1 Jun lepas untuk mengadakan perjumpaan di Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa diakui diterima, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Nik Nazmi mahupun pejabatnya.
Surat permohonan kedua bertarikh 11 Julai untuk mengadakan satu sesi perbincangan khusus berkaitan struktur pelantikan MPP Zon Setiawangsa dan subzon turut diakui diterima namun tidak diendahkan.
“Agak janggal selepas pelantikan rasmi, Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan seolah-olah dipinggirkan di dalam proses pelantikan yang mana beliau sendiri enggan memberikan kerjasama sebelum ini,” kata Afdlin kepada FMT.
Terdahulu, Nik Nazmi mendakwa pelantikan terbaru ahli MPP Zon Setiawangsa tidak lagi dibuat berdasarkan syor beliau tetapi dipilih daripada senarai yang disediakan Afdlin selaku pengerusi.
Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang lain, kecuali tiga Ahli Parlimen PKR (Setiawangsa, Wangsa Maju dan Batu) yang tewas dalam pemilihan cabang diberikan kuasa untuk menghantar senarai kepada menteri.
Mengulas lanjut, Afdlin berkata, kuasa mencadangkan calon MPP adalah bawah cabang parti yang mentadbir kawasan, bukannya Ahli Parlimen, berdasarkan garis panduan dan perlembagaan PKR.
Katanya, isu timbul kerana jawatan Ahli Parlimen dan ketua cabang kini dipegang oleh individu berbeza, tetapi pelantikan tersebut tetap sah dan mengikut peraturan parti.
“MPP Zon Setiawangsa dilantik bukan untuk bersaing dengan Ahli Parlimen, tetapi untuk memperkukuh suara rakyat dan mempercepat penyelesaian isu komuniti di lapangan,” katanya.
Pada pemilihan PKR April lepas, Afdlin menewaskan Nik Nazmi dalam perebutan jawatan ketua PKR Setiawangsa setelah memperoleh 631 undi, berbanding 563 undi diperoleh Nik Nazmi.