
Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi memutuskan K Rameswaran, 28, didenda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.
Harian Metro melaporkan penolong pegawai Rela Sungai Siput itu didakwa secara tidak jujur menggunakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa MTL 2023/2024 Daerah Sungai Siput bagi Disember 2023.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Rela Perak, Ipoh atas nama lima individu yang tidak pernah menjalankan tugasan anggota Rela bagi rondaan MTL pada Disember 2023, iaitu antara 2 Nov 2023 hingga 1 Feb 2024 membabitkan nilai keseluruhan RM9,408.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak wakili peguam memohon hukuman diringankan dengan merujuk dokumen akuan rundingan diserahkan pihak pendakwaan kepada mahkamah.