Loke gesa segera perbaharui lesen memandu, elak masalah subsidi

Loke gesa segera perbaharui lesen memandu, elak masalah subsidi

Menteri Pengangkutan ingatkan Lesen Memandu Kompeten (CDL) tamat tempoh lebih 3 tahun perlu ambil semula ujian dan boleh jejaskan kelayakan subsidi BUDI95.

JPJ WILAYAH PERSEKUTUAN
Loke Siew Fook berkata JPJ merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk serta kaunter di seluruh negara sejak pengumuman BUDI95, Isnin lalu.
PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menggesa pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang masih aktif, termasuk mereka yang tamat tempoh tidak lebih tiga tahun supaya segera memperbaharuinya bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Menurutnya, statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan seramai 2.4 juta daripada lebih 15 juta pemegang lesen didapati tidak lagi aktif, manakala 925,421 lesen telah tamat tempoh kurang daripada tiga tahun.

Beliau mengingatkan pemegang lesen yang gagal memperbaharui dalam tempoh berkenaan akan diwajibkan menduduki semula ujian, selain berisiko terkesan dengan penyaluran subsidi di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Kalau belum sampai tiga tahun, lesen itu masih aktif. Tetapi jangan tunggu sampai terlepas tempoh.

“Hari ini aktif, esok kalau luput terus bermasalah. Nanti kerajaan pula dipersalahkan bila ada kesulitan menikmati subsidi,” katanya pada sidang media.

Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan dilakukan menggunakan MyKad.

Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula Sabtu ini, diikuti sembilan juta golongan B40 yang terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada keesokan harinya, sebelum diperluas kepada pengguna lain pada 30 Sept.

Sementara itu, Loke berkata JPJ merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk serta kaunter di seluruh negara sejak pengumuman BUDI95, Isnin lalu.

Beliau menegaskan, pemilikan CDL yang sah adalah antara syarat penting untuk menikmati subsidi BUDI95, sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak berlengah memperbaharui lesen.

“Kita tidak mahu ada pemohon subsidi tercicir hanya kerana lesen memandu tidak aktif,” katanya.

Kerajaan menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai 9 pagi esok bagi memudahkan semakan profil serta baki penggunaan kelayakan bulanan.

Pemandu e-panggilan juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal terbabit.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.