
Loke pada sidang media mendedahkan hanya 2.68% daripada 108,805 kenderaan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500kg membuat pengesahan, meskipun penguatkuasaan SLD akan bermula dalam beberapa hari lagi, iaitu pada 1 Okt.
Loke mengumumkan penguatkuasaan SLD secara berperingkat itu seawal 13 Jun, bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
“Saya amat dukacita dengan sikap pengusaha yang seolah-olah tak ambil serius,” katanya kepada pemberita.
Loke berkata alasan biasa yang diberikan persatuan berkaitan antaranya ‘tak cukup masa’ walaupun sudah tiga bulan berlalu.
“Tak sampai pun 3,000 yang buat pengesahan. Bukannya tiada kapasiti, maksudnya mereka tunggu dan lihat,” katanya.
SLD ialah peranti yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan. Dilaporkan penguatkuasaan SLD akan dilaksanakan secara berperingkat ke atas bas persiaran dan bas ekspres dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 5,000kg serta membawa lebih lapan penumpang, dan kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg; dengan semua jenis kenderaan berat ditetapkan had laju maksimum 90km/jam.
Loke menegaskan tiada kompromi selepas tarikh penguatkuasaan berkuatkuasa.
“Notis panggilan temu siasat akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya.
Buat masa ini Kementerian Pengangkutan belum bercadang mewajibkan pengesahan SLD menerusi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.
“Penguatkuasaan tetap perlu berjalan melalui pemeriksaan di jalan raya,” katanya.