PBDS lantik John Brian Anthony sebagai presiden

PBDS lantik John Brian Anthony sebagai presiden

Pada persidangan perwakilan tahunan ketiga parti itu, Bernard Tahim Bael dilantik sebagai timbalan presiden.

john brian anthony
John Brian Anthony sebelum ini adalah pengerusi tetap Parti Bansa Dayak Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
John Brian Anthony dipilih sebagai presiden baharu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi penggal 2025–2028 pada persidangan perwakilan tahunan ketiga parti itu, menggantikan Moses Ripai.

Menurut The Borneo Post, Bernard Tahim Bael dipilih sebagai timbalan presiden manakala Leighton Manjah dilantik sebagai pengerusi tetap, menggantikan Brian.

Sementara itu, Bego Sepop, Peter Asut dan Puso Bujang dipilih sebagai naib presiden parti.

Jerry Robert dan Simon Peterson Awan pula masing-masing dipilih sebagai ketua Pemuda PBDS dan timbalan bendahari agung.

Bagi sayap wanita, Marylyn Mitsui menang tanpa bertanding sebagai ketua.

Mereka yang dipilih menganggotai Majlis Tertinggi PBDS ialah Michael Samuel, Derrick Wat, Ambun Nyanggah, Elia Unggak, Aina Duot, Dennis Enggau, Lalai Kawang, Lansanda Alik, Robert Siting dan Wen Achat.

Setiausaha agung parti akan dilantik pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua minggu.

Pada April lalu, PBDS dilaporkan akan bertanding di kerusi majoriti Dayak pada PRN Sarawak akan datang.

Moses, ketika itu presiden parti, berkata sokongan terhadap PBDS dalam kalangan pelbagai komuniti Dayak termasuk Bidayuh dan Orang Ulu semakin meningkat.

Parti itu bertanding di 11 kerusi pada PRN lalu tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Pada 2022, Brian pernah dilaporkan berkata mereka bercadang untuk bertanding di 29 daripada 82 kerusi DUN.

PRN Sarawak seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.