Aerotree saman kerajaan RM353 juta batal sewa Blackhawk

Aerotree saman kerajaan RM353 juta batal sewa Blackhawk

Kontraktor pertahanan itu mahu mahkamah halang bon pelaksanaan RM1.87 juta miliknya dan memaksa kerajaan meneruskan perjanjian itu.

black hawk
Aerotree Defence and Services Sdn Bhd mendakwa penamatan mengejut oleh Putrajaya terhadap perjanjian sewaan helikopternya telah menyebabkan kerugian besar, menjejaskan reputasi, serta mencetuskan pertikaian undang-undang di luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aerotree Defence and Services Sdn Bhd memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan berhubung pembatalan sewaan lima tahun melibatkan empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat (AS).

Saman yang difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, turut menamakan Kementerian Pertahanan dan ketua setiausahanya sebagai defendan.

Aerotree memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan meneruskan perjanjian berkenaan berdasarkan surat setuju terima bertarikh 17 April 2023.

Sekiranya tidak, syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan USD38.7 juta (RM297.3 juta). Ia juga menuntut ganti rugi am, teladan, dan teruk.

Aerotree juga memohon supaya kerajaan dihalang daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Okt 2024 adalah tidak sah dan batal.

Dalam penyataan tuntutan setebal 31 muka surat itu, syarikat itu menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta, dengan syarikat tersebut akan memiliki, mengendalikan, dan menyelenggara pesawat berkenaan.

Di bawah perjanjian itu, dua helikopter sepatutnya dihantar dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan. Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta, yang dijamin Perwira Affin Bank.

Syarikat itu berkata, ia telah menandatangani perjanjian dengan Havelsan dari Turki bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang tentera darat, serta dengan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli dan menaik taraf helikopter berkenaan.

Namun, katanya, penghantaran tertangguh disebabkan pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine. Pihak syarikat telah memohon tiga kali lanjutan sehingga 30 Okt 2024, namun masih tertakluk kepada penalti kelewatan penghantaran.

Syarikat itu juga mendakwa kementerian gagal membantu mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui penyusunan semula lembaga pengarah. Katanya, pertukaran menteri pertahanan turut menangguhkan urusan dokumen.

Pada 31 Okt 2024, Aerotree menerima surat penamatan kerana gagal menyerahkan helikopter tersebut.

Ia berkata, tindakan itu tidak adil sambil berhujah bahawa helikopter berkenaan telah pun didaftarkan dengan Jabatan Negara AS dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.

Syarikat itu berhujah, penalti sepatutnya dikenakan, bukannya pembatalan, selain mendakwa penamatan dibuat melanggar terma surat setuju terima yang menghendaki rundingan dibuat terlebih dahulu.

Aerotree juga mendakwa, dokumen pembiayaan utama – iaitu surat ikatan kemudahan – telah dikemukakan kepada bahagian perundangan kementerian pada Jun 2024, namun tiada tindakan diambil.

Syarikat berkenaan mendakwa, kerajaan kemudiannya telah merampas bon pelaksanaan RM1.87 juta dan mengabaikan surat rayuan dihantar pada Disember 2024.

Ia berkata tindakan itu menjejaskan reputasinya dan mendedahkannya kepada tindakan undang-undang daripada pembekalnya di Slovakia.

Ia juga menyatakan bahawa kementerian telah mengeluarkan tender baharu bagi penyewaan helikopter pada 4 Ogos 2025, bernilai RM185.2 juta, yang akan ditutup pada 23 Sept.

Walaupun Aerotree layak untuk memohon semula, katanya, tiada jaminan kejayaan dan ia memberi amaran mengenai kemungkinan halangan yang sama berulang.

Dengan kelulusan eksport kini telah diperoleh, Aerotree berkata penamatan itu dilakukan dengan niat tidak baik, yang menyebabkan kerugian kewangan dan reputasi yang besar.

Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 23 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.