Ronald Kiandee lebih sesuai calon KM Sabah, kata penganalisis

Ronald Kiandee lebih sesuai calon KM Sabah, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah mengulas cadangan pada Muktamar PAS semalam supaya Ketua Pesuruhjaya Sabah Aliakbar Gulasan dinamakan calon ketua menteri PN.

ronald kiandee n aliakbar
Ronald Kiandee lebih sesuai dicalonkan sebagai ketua menteri Sabah dari PN kerana kedudukannya sebagai pengerusi gabungan itu berbanding Aliakbar Gulasan, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menamakan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee sebagai calon sesuai untuk ketua menteri Sabah dari Perikatan Nasional (PN) berbanding Adun dilantik Aliakbar Gulasan.

Mengulas cadangan pada Muktamar PAS semalam, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata pemilihan itu lebih sesuai berdasarkan kedudukan Kiandee sebagai pengerusi PN dan ketua Bersatu Sabah.

“PAS boleh mencadang tetapi keputusannya harus bergantung kepada perbincangan sesama parti-parti gabungan dalam PN.

“Siapa calon ketua menteri atau ‘poster boy’ penting kerana akan mempengaruhi undi nanti,” katanya kepada FMT.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

Beliau mengulas cadangan Perwakilan PAS Shah Alam Mohamed Sukri Omar supaya Ketua Pesuruhjaya Sabah Aliakbar Gulasan dinamakan calon ketua menteri PN untuk PRN17 nanti.

Sukri yang juga ketua Pemuda PAS Selangor berkata parti itu juga perlu diberi peluang menerajui PN bagi menghadapi PRN Sabah.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin berkata gabungan itu sudah pun mengenal pasti calon ketua menteri Sabah jika gabungan itu menang PRN akan datang namun namanya belum boleh didedahkan buat masa ini.

Mengulas lanjut, Lee bagaimanapun berkata tidak mustahil untuk Aliakbar mencipta kejutan di kerusi Karambunai pada PRN akan datang menerusi perwatakan dan pendekatannya berkempen yang menarik ramai pengundi.

“Ia masih menjadi satu cabaran sengit untuk PAS menang (PRN Sabah) tetapi ia tidak mustahil sekiranya ada kerjasama dengan parti-parti berpengaruh.

“Buat masa ini penerimaan terhadap PAS dicenderungi dua faktor utama, antaranya agama di kalangan golongan yang utamakan agama dalam pilihan politik mereka.

“Keduanya ialah personaliti Aliakbar yang boleh dilihat dalam media sosial,” katanya.

Tony Paridi Bagang
Tony Paridi Bagang.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah pula berpendapat cadangan PAS dilihat satu perkara yang berani dan berkeyakinan.

“Namun ia perlu realistik berdasarkan landskap politik negeri Sabah dan kekuatan PAS Sabah,” katanya.

Aliakbar merupakan Adun lantikan dalam kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.