3 kerusi Perlis kekal kosong walau bekas Adun jadi ahli PAS semula

3 kerusi Perlis kekal kosong walau bekas Adun jadi ahli PAS semula

Ia selepas Majlis Syura Ulama menerima permohonan tiga bekas Adun Perlis itu untuk menyertai PAS semula.

Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali yakin PAS Pusat akan menerima permohonan keahlian Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim. (Gambar Facebook)
BANGI:
Tiga kerusi PAS di Perlis kekal kosong, walaupun permohonan keahlian tiga bekas Adun itu diluluskan pucuk pimpinan parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Ali.

“Walaupun permohonan keahlian mereka (tiga Adun Perlis itu) diterima selepas ini, status mereka sebagai Adun PAS kekal gugur.

“Ia selaras perlembagaan parti terkait Akta Lompat Parti. Jika melakukan apa-apa kesalahan, maka tergugur dengan sendiri keahlian,” katanya selepas menghadiri pemukiman tertutup PAS di sini.

PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima Adun Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Ia disusuli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menyerahkan notis pengosongan kerusi Bintong, Guar Sanji dan Chuping kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pada 29 Dis lalu.

Tetapi, Pengerusi SPR, Ramlan Harun dilaporkan berkata, tiada PRK bagi tiga kerusi itu selepas DUN Perlis menarik semula pemakluman kekosongan berkenaan pada 31 Dis lalu.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, walaupun tiada PRK, tiga kerusi itu kekal kosong sehingga PRU16, selepas mengambil kira perkembangan mutakhir, termasuk pendirian PAS yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad yakin PAS Pusat akan menerima permohonan keahlian tiga Adun itu.

“Saya sebelum ini ada jumpa tiga Adun berkenaan dan telah beri nasihat dan teguran (supaya tidak mengulangi kesilapan sama).”

Terdahulu, Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan menerima permohonan tiga Adun Perlis untuk menyertai parti itu semula yang akan diserahkan kepada setiausaha agung parti untuk pertimbangan PAS Pusat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad mengakui kemelut politik di Perlis belum selesai sepenuhnya, tetapi proses penstrukturan semula kepimpinan negeri sudah dilaksanakan.

“Saya harap perkara ini akan diselesaikan dengan elok dan kita fokus kepada persiapan PRU16 serta memperkukuh parti.”

Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pertembungan antara Majlis Syura Ulama dipimpin Mursyidul Am, Hashim Jasin dan PAS Pusat bawah pimpinan Hadi Awang susulan kemelut di Perlis.

“Perkara itu tidak betul dan tidak berbangkit, tiada sebarang pertembungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.