Badan Peguam gesa protokol berkait kenyataan polis kepada media

Badan Peguam gesa protokol berkait kenyataan polis kepada media

Presidennya Ezri Abdul Wahab berkata polis patut hanya memberi kemas kini berstatus neutral supaya hak suspek mendapat perbicaraan adil tidak terjejas.

Ezri Abdul Wahab
Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab berkata polis hanya perlu menyediakan fakta dan maklumat asas kepada orang ramai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Badan Peguam menggesa protokol nasional berhubung kenyataan polis kepada media untuk menetapkan sempadan jelas mengenai maklumat yang boleh didedahkan polis secara terbuka.

Presidennya, Ezri Abdul Wahab, berkata pendedahan awal oleh polis boleh menjejaskan hak tertuduh mendapat perbicaraan adil, dengan mewujudkan persepsi awam yang mampu menjejaskan suspek sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Ketelusan paling baik dicapai melalui kemas kini status neutral, bukannya dengan mendedahkan bukti atau identiti tertentu. Pendedahan sedemikian boleh membawa kesan buruk tidak perlu kepada suspek dan keluarga mereka, termasuk stigma, gangguan serta kerosakan reputasi,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, polis hanya perlu menyediakan fakta asas berkaitan siasatan dan proses rutin lain seperti lawatan ke lokasi, bedah siasat atau analisis forensik kepada orang ramai.

Beliau menyarankan penubuhan kumpulan kerja rentas agensi terdiri daripada polis, Jabatan Peguam Negara, wakil media dan Badan Peguam untuk memperhalusi amalan komunikasi selaras hak perbicaraan adil serta prosedur keselamatan.

Katanya, pengukuhan dari segi perundangan atau peraturan juga boleh dipertimbangkan, jika perlu untuk memberi kepastian dan konsistensi tanpa memperluaskan kerahsiaan melebihi apa yang diperuntukkan undang-undang.

Komennya menyusul kenyataan peguam S Vinesh pada minggu lalu yang menggesa polis lebih berhati-hati dalam mendedahkan butiran siasatan sedang dijalankan selepas komen ketua polis Ipoh berhubung satu kes pembunuhan baru-baru ini.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, memberitahu media rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar sebuah lori sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa digilis dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Vinesh, yang anak guamnya didakwa dalam kes itu, memberitahu FMT butiran sedemikian tidak patut dikeluarkan ketika siasatan masih dijalankan kerana boleh menjejaskan hak anak guamnya mendapat perbicaraan adil dengan membentuk persepsi awam dan menjejaskan keluarganya.

Salim Bashir
Salim Bashir.

Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata walaupun ketelusan awam penting, “pendedahan berlebihan” maklumat siasatan boleh menjejaskan integriti perbicaraan.

Katanya, mendedahkan maklumat siasatan mungkin menyebabkan prejudis kepada tertuduh dan pendakwaan, dengan perbicaraan juga berpandukan pengesahan fakta yang mungkin menyokong atau bercanggah kenyataan di luar kehakiman dibuat pihak penguat kuasa berdasarkan sudut siasatan tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.