
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata orang awam diminta agar sentiasa bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau perkongsian sama ada secara fizikal mahupun di platform digital.
“Sebarang perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang berkaitan perkara tersebut, sekiranya dikesan, akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kerjasama semua pihak dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini amat dihargai,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya bertenang, tidak melibatkan diri dengan mana-mana pihak, membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa gangguan.
Alzafny juga berkata polis amat menghormati Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan, pentadbiran serta perpaduan negeri berkenaan.
Justeru, beliau berkata pihaknya tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang berkenaan sebaliknya memberi keutamaan penuh dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta keamanan di negeri itu.
Terdahulu, Menteri Besar Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan tindakan Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong semalam tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Aminuddin berkata ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS 1959.