

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata parti itu atas prinsip demokrasi menghormati dapatan terbabit namun mendakwanya tidak berpijak di bumi nyata dengan mempersoalkan kayu ukur digunakannya.
Beliau mendakwa dapatan pihaknya di lapangan mendapati wujud sentimen sebaliknya terhadap kerajaan GRS diketuai Hajiji Noor atas beberapa faktor seperti masalah tiga serangkai air, elektrik dan jalan yang belum selesai.
“Sejarah politik negara telah membuktikan bahawa kelebihan jentera kerajaan tidak menjamin kemenangan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, FMT melaporkan Ketua Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata kajian awal pihaknya mendapati majoriti pengundi di Sabah lebih terarah kepada personaliti calon dan pengaruh parti.
Sehubungan itu, kajian GRS dilihat mempunyai kekuatan dalam aspek itu khususnya di kawasan majoriti Bumiputera Islam dan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).
Jelasnya, GRS mempunyai kelebihan sumber kerana parti pemerintah dan ketokohan tokoh parti mereka.
Kajian mendapati parti pembangkang khususnya Warisan dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dijangka sukar menembusi kekuatan GRS memandangkan parti berkenaan hanya dominan di kawasan tertentu.
Pakatan Harapan (PH) pula masih dilihat kuat di kawasan bandar majoriti Cina, yang memberi kelebihan kepada DAP dan PKR.
Bagi Perikatan Nasional (PN), kajian mendapati pengaruh gabungan itu merosot teruk selepas sebahagian besar Adun menyertai GRS, malah kekuatannya di Sabah hanya tersudut kepada Ketuanya Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran.