
Ia susulan dakwaan ahli perniagaan Albert Tei dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.
Tei sedang dibicarakan di mahkamah khas rasuah atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM350,000 kepada dua Adun berkait permohonan lesen perlombongan mineral di Sabah.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak. Tetapi, tindakan hanya diambil setelah menerima laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” kata Hajiji dalam kenyataan.
Semalam, peguam mewakili Tei, Mahajoth Singh menerusi kenyataan menuntut Hajiji memberikan penjelasan dalam tempoh 24 jam mengapa anak guamnya dihalang daripada memasuki Sabah.
Katanya, Tei mendarat kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan dijadual menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 9 pagi hari ini, namun beliau dihalang seorang pegawai imigresen dengan alasan ada sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Peguam itu berkata, Tei kemudian dibenarkan masuk dan tinggal di Sabah selama dua hari selepas menunjukkan dokumen membuktikan dia mempunyai prosiding mahkamah untuk dihadiri.