
Presidennya, Sri Ganesh Michiel, berkata fokus sebaiknya diberikan terhadap usaha pembangunan kawasan itu untuk meningkatkan pengalaman pengunjung yang menjadi faktor pertumbuhan sebenar sektor pelancongan.
Katanya, pelaburan dalam infrastruktur, warisan budaya dan kemudahan misalnya, akan mencipta nilai jangka panjang yang menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
“Pertukaran nama mungkin dapat meraih perhatian sementara, namun berisiko menimbulkan kekeliruan dan melemahkan pengiktirafan.
“Pada masa sama, ia bukan sahaja mengurangkan kedatangan pelancong berulang malah perlu menanggung kos yang tidak perlu untuk pemasaran dan penjenamaan semula,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Ganesh berkata perubahan secara tiba-tiba terhadap jenama Port Dickson itu sendiri dilihat boleh mengganggu strategi promosi yang sedang berjalan.
Katanya, pelabur menekankan kestabilan dan bergantung kepada identiti jenama yang jelas untuk melakukan komitmen mereka dalam hospitaliti, peruncitan dan pelancongan.
“Dengan menyalurkan sumber penambahbaikan seperti pelancongan mampan dan strategi promosi yang inovatif, ia dapat memacu daya saing dan pertumbuhan mampan.
“Pelancong dan pelabur akhirnya akan tertarik kepada keaslian, kestabilan dan pengalaman bukan sekadar label,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun membidas usaha badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan mahu menukarkan nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga.
Beliau turut mempersoalkan kenapa kawasan berkenaan yang menjadi sasaran dan pada masa sama minta semua pihak bersikap lebih terbuka.
Katanya, Port Dickson sudah dikenali ramai termasuk pelancong luar sebagai kawasan pantai peranginan.