Rakyat Terengganu diminta beradab, mesra terima lonjakan pelancong

Rakyat Terengganu diminta beradab, mesra terima lonjakan pelancong

Exco Razali Idris berkata konflik Asia Barat ketika ini dilihat ubah corak perjalanan global sekali gus buka peluang kepada Terengganu tarik lebih ramai pelancong asing.

generic bandar kuala terengganu
Kerajaan negeri akan terus memantau aspek perkhidmatan dan harga bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pilihan pelancong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat Terengganu diseru terus mengekalkan sikap beradab susulan jangkaan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dari India, China dan negara Asean.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, berkata situasi konflik yang berlarutan di Asia Barat ketika ini dilihat mengubah corak perjalanan global, sekali gus membuka peluang kepada negeri itu menarik lebih ramai pelancong asing.

“Justeru, saya minta semua rakyat Terengganu beradab dan mesra menerima pelancong,” tulisnya di Facebook.

Razali yang juga Adun Kijal turut menyeru peniaga termasuk pengusaha di Pasar Payang, penjual makanan, operator hotel, inap desa serta penyedia pakej aktiviti pelancongan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj melampau.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau aspek perkhidmatan dan harga bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pilihan pelancong.

“Kerajaan sentiasa memantau supaya Terengganu menjadi destinasi wajib singgah. Terengganu cantik, budaya menarik dan Insya-Allah rakyatnya baik-baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.