
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong dari DAP Lim Lip Eng yang mencabar PAS membuktikan keikhlasan dengan menawarkan bahasa tersebut di Pasti.
Ia selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya Mandarin dan Tamil menjadi dasar dalam sistem pendidikan bagi memupuk perpaduan.
Afnan berkata, mereka tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan cadangan Lim itu dan boleh dipertimbangkan sebagai subjek pilihan di Pasti mengikut kesesuaian dan kemampuan murid.
“Saya setuju bukan sahaja Mandarin, tapi Tamil diajar di Pasti, sebab bahasa ini diciptakan oleh Allah. Saya sangat setuju, untuk mendekati satu-satu kaum itu, kita belajar satu-satu kaum itu,” katanya.
Terdahulu, Lim menggesa PAS supaya memperkenalkan kelas bahasa Mandarin dan Tamil di Pasti, sekiranya ia benar-benar ikhlas dengan cadangan untuk mengajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan.
Tuan Ibrahim kemudiannya menegaskan sebarang langkah memperkenalkan bahasa itu di Pasti mestilah berpandukan dasar pendidikan kebangsaan, bukannya tuntutan secara ad hoc.
Mengulas lanjut, Afnan berkata ia bukan perkara pelik untuk melaksanakan pengajaran bahasa lain di Pasti kerana ada juga guru yang boleh berbahasa Mandarin.
“Di Pasti seingat saya, ada guru Pasti boleh berbahasa Mandarin, ada India bercakap Tamil menjadi murid di Pasti. Ia bukan perkara pelik. Kita sudah laksanakan dan boleh perkasakan lagi.
“Saya akan cadangkan kepada pengurusan Pasti, tetapi asasnya dia kena belajar agama dulu, lepas itu baru bahasa-bahasa lain,” katanya.