
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, kadar itu melibatkan penstrukturan semula kadar gaji bagi Pas Penggajian Kategori I, II dan III, serta penetapan tempoh penggajian ekspatriat di Malaysia.
“Dasar penggajian ekspatriat semasa yang berpandukan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 20 Dis 2016 telah ditambah baik melalui siri sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh sejak 2022,” kata KDN.
“Ia untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta memberi keutamaan kepada bakat tempatan yang layak bagi mengisi kekosongan jawatan sebelum mempertimbangkan pengambilan ekspatriat.”
Selain penyelarasan gaji, dasar ini turut memperkenalkan tempoh penggajian ekspatriat yang sebelum ini tiada had khusus.
“Penetapan tempoh ini bukan sahaja bertujuan meraikan ekspatriat yang mempunyai kepakaran tinggi untuk terus menyumbang kepada negara, malah berfungsi sebagai panduan kepada majikan dalam merancang pelan penggantian secara lebih tersusun dengan penglibatan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Gaji ekspatriat Pas Penggajian Kategori I dinaikkan daripada RM10,000 ke atas kepada RM20,000 ke atas, manakala Kategori II diselaraskan daripada RM5,000 hingga RM9,999 kepada RM10,000 hingga RM19,999.
Bagi Kategori III pula, kadar gaji dinaikkan daripada RM3,000 hingga RM4,999 kepada RM5,000 hingga RM9,999, kecuali sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan yang ditetapkan antara RM7,000 hingga RM9,999.
Tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori I dan II ditetapkan kepada 10 tahun dengan pelan penggantian manakala bagi kategori III ditetapkan kepada lima tahun dengan pelan penggantian.
Semua ekspatriat yang memegang Pas Penggajian Kategori I, II dan III juga dibenarkan membawa tanggungan.
“Ke arah pelaksanaan sepenuhnya dasar ini, KDN akan menganjurkan sesi temu rapat dan libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri, majikan dan agensi berkaitan bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan, implikasi dasar serta memastikan transisi dasar ini berjalan secara teratur, telus dan tidak menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan,” katanya.