
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan terus meneliti setiap maklum balas yang diterima bagi memastikan hak pemilik asal dapat dijamin secara lebih menyeluruh.
“Tujuan RUU PSB ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan bandar yang daif dan usang, menjana semula sosioekonomi setempat, serta memastikan hak pemilik asal terjamin dalam proses pembaharuan semula bandar,” katanya dalam kenyataan.
Nga berkata demikian susulan keputusan Jemaah Menteri menarik balik RUU tersebut bagi tujuan penambahbaikan.
Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU tersebut, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan Umno’.
Dalam pada itu, Nga berkata, setelah proses penambahbaikan dimuktamadkan, RUU tersebut akan dibentangkan semula di Parlimen dengan format baharu.
“KPKT kekal komited untuk memastikan RUU PSB yang bakal dibentangkan semula nanti menyokong agenda pembangunan semula bandar yang lebih selamat, terancang, mampan dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani,” katanya.
RUU PSB bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta memastikan pembangunan bandar yang mampan.
Ia menggariskan tiga jenis projek, iaitu pembangunan semula yang membabitkan kerja meroboh dan membina semula projek perumahan; pemulihan yang melibatkan pembaikan atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai; serta revitalisasi berkaitan naik taraf atau tambah baik sesuatu kawasan tanpa sebarang perobohan.