Sistem GRC bukan pilihan terbaik pilihan raya tempatan KL, kata pakar

Sistem GRC bukan pilihan terbaik pilihan raya tempatan KL, kata pakar

Mereka berkata model pilihan raya di Singapura itu menyukarkan perwakilan etnik yang betul.

KL skyline
Pakar Undang-Undang Perlembagaan Shad Saleem Faruqi sebelum ini mencadangkan supaya Sistem Kawasan Perwakilan Berkumpulan Singapura boleh dipertimbangkan untuk pelaksanaan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya menolak cadangan untuk mengkaji Sistem Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Singapura sebagai model bagi pelaksanaan pilihan raya tempatan Kuala Lumpur, dengan menyatakan ia mungkin bukan pilihan terbaik.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Shad Saleem Faruqi sebelum ini mencadangkan agar Malaysia mempertimbangkan sistem pilihan raya seperti GRC, di mana sekumpulan calon dipilih bersama bagi mencerminkan kepelbagaian sesuatu komuniti.

Menurut The Straits Times, Shad Saleem dipetik berkata pendekatan sedemikian mungkin dapat membantu memastikan perwakilan yang pelbagai di kawasan bandar.

Mengulas cadangan itu, penganalisis politik dari Sunway University dan pengasas bersama Projek Sama, Wong Chin Huat berkata isu pengecualian etnik boleh dan wajar ditangani melalui sistem pilihan raya. Namun beliau menentang penggunaan sistem GRC kerana berpendapat ia boleh memburukkan lagi masalah pengecualian etnik.

Wong memberitahu FMT bahawa sistem GRC ialah satu varian sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) atau undian pemenang undi terbanyak dengan dua ciri – kawasan berbilang ahli dan kuota minoriti.

Beliau berkata sistem GRC tidak sesuai kerana parti pembangkang atau parti kecil boleh terhapus di bawah FPTP yang berasaskan konsep ‘pemenang ambil semua’.

Wong berkata Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), yang masing-masing memperoleh 20% dan 16% undi di Kuala Lumpur dalam PRU 2022, tidak akan mendapat sebarang kerusi di bawah sistem GRC.

“Ini bukan sahaja tidak adil, malah akan memburukkan lagi kebimbangan perkauman dalam kalangan pengundi PN dan BN,” katanya, sambil menambah bahawa kuota etnik tidak eksklusif kepada sistem GRC kerana ia boleh dilaksanakan dengan mudah di bawah sistem perwakilan berkadar senarai tertutup (CLPR).

CLPR ialah sistem perwakilan berkadar berasaskan parti politik yang telah berdaftar terlebih dahulu, di mana setiap parti diperuntukkan sejumlah kerusi yang kira-kira sepadan dengan peratusan undi yang diperoleh. Sistem ini diamalkan di negara seperti Jerman, Sepanyol dan Portugal.

“Saya mencadangkan gabungan 50-50 antara kerusi FPTP dan CLPR,” kata Wong. “Katakan kita mempunyai 48 ahli majlis bandar Wilayah Persekutuan secara keseluruhan, 24 akan dipilih melalui FPTP di 24 kawasan satu ahli, manakala 24 lagi dipilih melalui CLPR dalam satu kawasan 24 ahli.”

‘Malaysia pernah ada akta benar undian blok pluraliti’

Pengerusi Tindak Malaysia, Danesh Prakash Chacko, berkata Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah dimansuhkan membenarkan satu bentuk undian blok pluraliti, yang serupa dengan undi blok parti yang digunakan dalam sistem GRC.

Chacko berkata beberapa negeri mempunyai kawasan yang mempunyai lebih daripada seorang wakil bagi majlis tempatan, di mana sesebuah parti meletakkan calon mengikut jumlah kekosongan dan pengundi boleh memilih lebih daripada seorang calon.

Beliau berkata GRC memperkuatkan ‘aspek terburuk FPTP’, di mana sesebuah parti yang tidak memperoleh majoriti undi masih boleh menyapu bersih kawasan lebih seorang wakil.

“GRC bukan jawapan untuk memastikan kepelbagaian calon kerana ia tidak meningkatkan perwakilan minoriti di Parlimen Singapura,” katanya.

Beliau berkata jika kebimbangan utama adalah untuk mempelbagaikan asas calon dalam pilihan raya tempatan, maka sistem perwakilan berkadar campuran (MMP) patut dipertimbangkan.

MMP menggabungkan pilihan raya FPTP berasaskan konsep pemenang ambil semua dengan satu lapisan tambahan melalui senarai parti, sekali gus menghasilkan perwakilan yang lebih berkadar secara keseluruhan.

Chacko berkata perwakilan berkadar boleh memudahkan kepelbagaian calon yang lebih besar dan membolehkan pandangan rakyat dicerminkan dalam majlis yang dipilih.

“Afrika Selatan, yang menggunakan sistem berkadar untuk pilihan raya nasional dan wilayah, memilih MMP bagi pilihan raya majlis tempatan.

“Adalah penting untuk orang ramai mengenali ahli majlis tempatan mereka, yang boleh dicapai melalui FPTP. Pada masa sama, elemen berkadar memastikan kehendak rakyat turut diterjemahkan,” katanya.

Diperkenalkan pada 1988, model GRC Singapura memerlukan pasukan tiga hingga enam calon, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada kumpulan etnik minoriti seperti Melayu atau India.

Ia direka untuk mengelakkan pembentukan kawasan etnik tertumpu dan menjamin kepelbagaian di Parlimen Singapura yang berbilang kaum, serta selaras dengan kuota perumahan berasaskan etnik.

Namun, pengkritik berhujah bahawa model GRC mengukuhkan kedudukan penyandang dan meningkatkan halangan kepada parti kecil yang perlu menyediakan satu pasukan calon lengkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.