Inkues Zara: Koroner, pihak terlibat lawat lokasi kejadian

Inkues Zara: Koroner, pihak terlibat lawat lokasi kejadian

Lawatan ke asrama SMK Agama Tun Datu Mustapha itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden menimpa Zara Qairina Mahathir.

Kenderaan polis yang mengiringi koroner dan pihak terlibat masuk ke pekarangan SMK Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah pagi tadi. (Gambar Bernama)
PAPAR:
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari keenam hari ini bermula dengan pihak yang terlibat melawat lokasi kejadian di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah SMK Agama Tun Datu Mustapha, di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan yang bertindak sebagai koroner dalam prosiding inkues itu tiba pada 9.15 pagi bersama beberapa pihak terlibat.

Terdahulu, pegawai-pegawai pengendali inkues diketuai Timbalan Pendakwa Raya II, Badius Zaman Ahmad tiba pada 8.29 pagi.

Pasukan polis forensik serta Jabatan Bomba Sabah turut kelihatan memasuki pekarangan kawasan sekolah sebelum menuju ke asrama terbabit.

Lawatan itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden malang menimpa Zara Qairina.

Sesi itu dijangka mengambil masa masa dua hingga tiga jam, sebelum prosiding inkues diteruskan di Mahkamah Koroner di sini pada 2 petang.

Kira-kira 20 pengamal media turut berada di luar kawasan sekolah seawal 7 pagi, bagaimanapun media tidak dibenarkan memasuki di dalam kawasan sekolah.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.