
Muhamad Azizi Ahmad Zaini, pegawai hidupan liar di pusat itu berkata Delima terkenal kerana kelicikannya mencari helah untuk mendapatkan buah kegemaran.
Delima bersama mereka sejak berusia 10 bulan, selepas diselamatkan dari Lubok Antu, Sarawak. Namun, kisah hidupnya berakhir tragis apabila ditemui mati pada 2013 dengan tubuh penuh kesan gigitan, cedera parah, dan hanya kaki kanan masih melekat sempurna.
Renjer percaya seekor jantan dominan, yang sebelum ini pernah terlibat dalam kejadian agresif sehingga menyebabkan kematian seekor orang utan lain pada 2012, mungkin menjadi punca tragedi itu. Namun, tiada bukti kukuh untuk mengesahkannya.

Menurut renjer, Delima — ibu kepada Annuar, Selina, dan Endu — sering menolak cubaan seekor orang utan untuk mengawan, yang dipercayai mencetuskan kemarahan jantan itu.
Kehilangan Delima hanya disedari apabila anak bongsunya, Endu, dilihat bersendirian di platform makanan tiga hari selepas kali terakhir muncul bersama ibunya.
Hairan dengan situasi itu, renjer melancarkan pencarian sebelum menemui mayat seekor orang utan betina yang reput di kawasan hutan, kemudian disahkan milik Delima.
Mengenang kembali, Azizi berkata Delima hanya boleh didekati oleh segelintir renjer.
“Hanya saya dan dua yang lain saja boleh mendekat,” katanya.

“Jadi selepas kematiannya, saya terpaksa jadi macam ayah angkat untuk anaknya. Saya beri makan minum, temankan dia sampai kakaknya (Selina) ambil alih,” kongsi Azizi yang berkhidmat hampir 13 tahun.
Baginya, kisah Delima bukan sekadar cerita tentang seekor haiwan, tetapi cerminan realiti dunia orang utan, yang memiliki DNA sekitar 97% serupa dengan manusia.
Dengan populasi orang utan Borneo yang kini sekitar 104,700 ekor dan dikategorikan sebagai spesies terancam kritikal, kisah Delima menjadi peringatan setiap kehilangan memberi kesan besar—bukan sahaja kepada ekosistem, tetapi kepada mereka yang menjaganya.
Kini, Pusat Hidupan Liar Semenggoh menempatkan 28 ekor orang utan Borneo berusia antara tiga hingga 53 tahun, semuanya hidup bebas di kawasan hutan seluas 653 hektar dengan pemantauan rapi.