Duta EU sedia ubah tanggapan buruk kesatuan itu terhadap minyak sawit, kata Hajiji

Duta EU sedia ubah tanggapan buruk kesatuan itu terhadap minyak sawit, kata Hajiji

Ia selepas Duta EU ke Malaysia Michalis Rochas, melihat sendiri bagaimana sektor kelapa sawit di Sabah dikendalikan dengan baik terutama dengan sistem pengeluarannya yang mampan.

Duta EU ke Malaysia Michalis Rochas(kiri) berkata sesuatu kepada Hajiji Noor ketika dalam pertemuan antara mereka di Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar Jabatan Ketua Menteri Sabah)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Hajiji Noor meminta Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rochas supaya memperbetulkan tanggapan salah kesatuan itu mengenai industri kelapa sawit di negara ini.

Katanya, ini selepas Rochas melihat sendiri bagaimana sektor kelapa sawit di Sabah dikendalikan dengan baik terutama dengan sistem pengeluarannya yang mampan serta mesra alam.

Hajiji berkata, Sabah selama ini telah mempromosikan amalan lestari dalam sektor penanaman sawit dan ia bertentangan dengan apa yang disebarkan dalam kempen anti-minyak kelapa sawit oleh EU terhadap minyak sawit Malaysia.

Kesediaan dan komitmen Rochas untuk mengubah tanggapan buruk terhadap industri minyak kelapa sawit Malaysia itu disuarakan kepada Hajiji dalam satu kunjungan hormat kepada ketua menteri di kediaman rasminya, di Sri Gaya, dekat sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut memberi penghargaan kepada EU susulan pelaburan dibawanya ke negeri itu yang berjumlah RM4.2 bilion (RM3.3 bilion dalam eksport dan RM800 juta dalam import).

“EU merupakan rakan pelaburan penting dan kita mahu melihat lebih banyak pelaburan pada masa akan datang.

“Selain itu, kerajaan negeri juga sedia menjalinkan kerjasama kukuh dengan EU bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan selepas kunjungan itu, hari ini.

Sementara itu, Rochas bersetuju banyak negara EU selama ini membuat tanggapan yang salah terhadap industri minyak kelapa sawit dan ia perlu diperbetulkan.

Ketika berada di Sabah, Rochas turut berpeluang melawat ladang milik Sawit Kinabalu dan mengakui negeri ini telah melakukan yang terbaik dalam memelihara alam semula jadi.

“Saya melihat sendiri dan amat memujinya (usaha memulihara alam semula jadi), saya sangat teruja apabila melihat kehadiran orang utan bersama bayinya walaupun dari jauh.

“Hasil tinjauan menerusi udara juga menunjukkan banyak sarang orang utan di atas pokok menunjukkan semuanya baik untuk hidupan liar tapi EU belum mengetahui mengenai perkara ini.

“Saya akan meyakinkan Brussels (ibu pejabat EU) nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.