Satira orang utan, katak di Dewan Rakyat langgar nilai dalam al-Quran, Sunnah, kata Mujahid

Satira orang utan, katak di Dewan Rakyat langgar nilai dalam al-Quran, Sunnah, kata Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menggesa pelukis terbabit menghormati pilihan majoriti pengundi kerana mereka tidak mahu dilabel sebagai pengundi beruk dan kera.

Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan pelukis menghukum semua ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan, walaupun melalui sebuah satira.
PETALING JAYA:
Tindakan pelukis yang menghasilkan sebuah lukisan memperlihatkan suasana di Dewan Rakyat yang dipenuhi orang utan dan katak disifatkan melanggar etika serta adab berpandukan nilai dalam al-Quran dan Sunnah, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.

“Sebagai seorang ahli Parlimen Muslim, saya turut protes satira politik ini kerana ia melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai dalam al-Quran dan Sunnah yang jelas melarang mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan).

“Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat), dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim. Satira dalam apa jua bentuknya, perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim,” katanya di Facebook.

Tonton video di sini.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, tindakan pelukis menghukum semua ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan, walaupun melalui sebuah satira.

“Hormatilah pilihan majoriti para konstituen (pengundi) masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera.

“Saya menghargai hak berkarya, sebagaimana saya juga mengharapkan hak untuk mempertahankan diri dihormati, apatah lagi apabila salah satu cabang pemerintahan, iaitu legislatif diperlekehkan,” katanya.

Terdahulu, sebuah lukisan memperlihatkan suasana di Dewan Rakyat dipenuhi orang utan dan katak tular mencuri tumpuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam catatan di Facebook Pejabat Diraja Selangor, baginda berkenan membeli karya seni itu selepas melihatnya dan menggantung lukisan berkenaan di bilik bacaan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.