
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Len Talif Salleh, berkata dana itu akan digunakan bagi kawalan sempadan, perlindungan habitat serta strategi pemuliharaan inklusif bersama komuniti.

Beliau berkata, ia membuktikan komitmen jangka panjang Sarawak dalam melindungi orang utan Borneo (Pongo pygmaeus) serta memelihara biodiversiti negeri.
“Dengan peruntukan ini, pelbagai inisiatif penambaikan dirancang bersama kerajaan negeri dan pusat, termasuk memperluaskan fasiliti serta meningkatkan keselamatan pengunjung ke sini,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, Sarawak menyasarkan lebih sejuta hektar tanah diwartakan kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA), dengan 234,335 hektar kini dikhaskan bagi pemuliharaan orang utan – hampir suku daripada sasaran.
Antara kawasan utama ialah Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary & Extension, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Sedilu, Taman Negara Ulu Sebuyau dan Taman Negara Gunung Lesong.
Kawasan ini menempatkan hampir 2,000 ekor orang utan liar, 95% daripadanya di Lanjak Entimau dan Batang Ai.
Terdahulu, Len Talif mewakili Premier Sarawak, Abang Johari Openg merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia di Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Len Talif berkata, selain perlindungan habitat, SFC turut mengurus Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang, yang kini menempatkan 48 ekor orang utan.
“Sejak 2007, lima ekor anak orang utan dilepaskan semula ke habitat liar. Orang utan ialah simbol warisan semula jadi Sarawak dan kelangsungan hidupnya bergantung kepada usaha kolektif daripada dasar kerajaan, penyelidikan saintifik hingga dedikasi komuniti tempatan.”
GWP kerjasama antarabangsa yang menyokong usaha negara menangani pemerdagangan hidupan liar haram, konflik manusia dengan haiwan liar serta risiko penularan zoonotik. Program itu dibiayai Kemudahan Alam Sekitar Global dan diterajui Bank Dunia.